Sunday, October 15, 2006

Profesor Diraja Ungku Aziz ulas isu `menang bentuk, kalah isi' - Melayu tidak kisah bangsa

Utusan Malaysia, 15 Ogos 2004


MUKADIMAH
ProfESOR Diraja Ungku Aziz cepat bersetuju ketika mahu diwawancara tentang isu agenda Melayu yang berbangkit ekoran tulisan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Norraesah Mohamad di halaman ini minggu lalu.

Pada hari dan masa yang dijanjikan, Pak Ungku membawa bersamanya Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara II yang diserahkan kepada kerajaan pada 2 November 2000.

Beliau salah seorang anggota badan itu dan duduk di dalam Jawatankuasa Kerja Pembasmian Kemiskinan.

``Penyelesaiannya sudah ada dalam laporan ini tetapi kita selalu mahu mencari cara-cara baru,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI, kelmarin.

Menurut Pak Ungku isu agenda sosioekonomi orang Melayu harus dibincangkan selalu kerana hanya dengan cara itu saja dapat dicari jalan penyelesaiannya yang berkesan.

``Agenda Melayu ini tidak terbatas sehingga bulan September nanti saja,'' katanya merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO.

Dalam pertemuan itu, Pak Ungku turut membangkitkan satu sikap orang Melayu yang pada pandangannya banyak merosakkan bangsa itu sendiri.

``Orang Melayu tidak berfikir sebagai satu ummah. Kita individualis nombor satu,'' katanya.

Beliau juga membangkitkan sindrom kacang lupakan kulit di kalangan orang Melayu.

MINGGUAN: Apakah yang terlintas dalam fikiran Pak Ungku selepas membaca tulisan Dr. Norraesah itu?

UNGKU AZIZ: Ia satu tulisan yang sangat baik. Saya seorang yang susah hendak berpuas hati tentang orang lain termasuk terhadap diri sendiri.

Saudara jangan lupa bahawa dia memiliki ijazah kedoktoran sains ekonomi dari University of Paris I Pantheon-Sorbonne, salah sebuah universiti yang terkemuka di Eropah dan universiti nombor satu Perancis sama seperti Oxford dan Cambridge di England dan Harvard di Amerika Syarikat.

Saya fikir beliau ini seorang intelek yang tidak begitu digunakan kepakarannya. Kalau saya diminta menyenaraikan 10 tokoh pemikir wanita di negara ini, senang-senang beliau antara lima yang teratas.

Tulisannya itu padat dan menyentuh secara keseluruhan isu-isu tentang masalah sosioekonomi orang Melayu walaupun tidak dengan mendalam.

Tetapi beliau tidak begitu lantang dalam erti kata tidak mempersoalkan kenapa orang Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu misalnya bertubuh kecil berbanding di negeri-negeri lain. Kenyataan ini bukan pandangan peribadi saya tetapi itulah juga yang dinyatakan dalam laporan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) negara.

Apa yang saya bangkitkan ini ada kena-mengena dengan isu agenda Melayu ini.

Kenapa tubuh mereka lebih kecil?

UNGKU AZIZ: Saya juga selalu bertanya soalan yang sama: Apakah Tuhan memang menjadikan orang Melayu comel dan kecil?

Keadaan orang Jepun selepas Perang Dunia Kedua juga serupa. Tetapi selepas kalah perang itu mereka bertanyakan soalan yang sama yang kita tanyakan kepada orang Melayu sekarang: ``Apa yang tidak kena dengan bangsa ini? Kenapa kita tidak boleh berjaya dalam pelbagai bidang?''

Orang Jepun menemui jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan itu dan mereka menyelesaikannya - pendidikan yang bermutu dan pemakanan yang seimbang. Hasilnya tubuh mereka besar, minda mereka cergas dan kita tahu mereka menguasai ekonomi.

Kejayaan bangsa Jepun itu boleh kita tiru. Hal ini sudah saya kupas dengan panjang lebar beberapa kali sebelum ini.

Apa kaitannya cerita itu dengan perbincangan kita ini?

UNGKU AZIZ: Ada dua perkara yang boleh mengubah nasib orang Melayu pada jangka panjang - pendidikan dan pemakanan yang seimbang.

Pada masa yang sama kita harus mengubah perenggu minda (mindset) orang Melayu. Kalau kita lihat secara keseluruhannya orang Melayu tidak cenderung mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang yang mereka ceburi.

Orang Melayu tidak ada pemikiran yang bersungguh-sungguh mahu berjaya; tidak ada motivasi mahu belajar secara berterusan seperti orang Jepun dan Eropah. Mereka ada pemikiran itu kerana mereka mahu berjaya. Bangsa Cina juga begitu, selalu berfikir bagaimana mahu memperbaiki diri.

Kita harus mencari jalan bagaimana hendak memberi motivasi kepada orang Melayu supaya berubah.

Pak Ungku ada jawapannya?

UNGKU AZIZ: Orang selalu menyebut tentang anjakan paradigma tetapi saya minta maaf, sebenarnya banyak yang tidak faham pun apa yang mereka katakan itu. Kalau kita asyik berklise kita tidak akan berfikir untuk menyelesaikan masalah.

Kita mesti mengubah pandangan orang Melayu tentang pendidikan, bahawa ia adalah satu proses sepanjang hayat dan bukan hanya setakat mendapat ijazah saja. Saya sudah berumur 82 tahun. Saya tidak nampak pelik kalau perlu belajar tentang perisian komputer misalnya kerana itu bidang yang saya kurang mahir. Memang susah tetapi saya mencuba dan memaksa diri belajar.

Saya masih sedia belajar walaupun umur sudah begini. Tetapi bagaimana dengan berjuta-juta orang Melayu lain?

Cita-cita Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lebih 30 tahun lalu. Soalnya kenapa terlalu susah untuk menukar orang Melayu dalam tempoh satu setengah generasi itu?

UNGKU AZIZ: Generasi awal fasa pertama DEB dulu, katakan pada pertengahan tahun 1970-an, sudah berjaya. Banyak yang sudah kita capai dalam bidang pendidikan termasuk menubuhkan pusat asasi sains yang kemudiannya melahirkan doktor dan jurutera Melayu.

Kita telah melalui zaman yang baik itu sehingga awal tahun 1980-an. Selepas itu di bawah kepimpinannya Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan wawasan bahawa orang Melayu boleh survive dalam persaingan yang bebas.

Salahkah wawasan itu?

UNGKU AZIZ: Ia mustahil boleh berlaku. Malah di sesetengah negara maju masih ada kepercayaan bahawa kelompok tertentu harus perlu diberikan perhatian yang lebih dan sedikit istimewa kalau mahu mereka berjaya.

Kelemahan pada orang Melayu yang perlu dibela ini adalah masalah pemikiran masyarakat kita yang telah terbentuk oleh penjajahan. Kita belum bersedia untuk meritokrasi.

Tetapi tidakkah kalau terlalu banyak diberikan bantuan orang Melayu akan jadi begitu manja?

UNGKU AZIZ: Ini satu lagi klise. Bantuan apa yang kita beri? Saya tadi menyebut tentang pendidikan dan pemakanan sebagai ejen perubahan. Tulisan saya dalam laporan Mapen II menyebut bahawa setiap orang harus makan telur ayam sekurang-kurangnya sebiji seminggu.

Hakikatnya kalau kita buat kaji selidik di Kelantan dan Terengganu puratanya hal ini tidak berlaku. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa kita sudah membantu orang Melayu?

Saya bukan bercakap tentang penyelesaian jangka pendek tetapi jangka panjang iaitu melalui pendidikan dan pemakanan.

Apa salah kepimpinan Melayu dalam hal ini?

UNGKU AZIZ: Mereka mengelak daripada menyentuh isu-isu yang sebenarnya relatif iaitu kemiskinan, kekurangan fizikal dan kelemahan mental.

Para pemimpin selalu bercakap tentang hal-hal yang asing. Kita bercakap tentang meningkatkan teknologi dalam pertanian tetapi hakikatnya orang Melayu miskin dan tidak ke mana. Kita juga banyak bercakap tentang pembangunan usahawan tetapi bagaimana sebenarnya mahu menjadikan mereka sebagai usahawan.

Orang Melayu juga bersalah dalam hal ini. Kerajaan misalnya bercakap tentang penguasaan bahasa Inggeris tetapi orang Melayu secara individu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasainya. Kita selalu ada tanggapan bahawa orang lain akan melakukannya dan bukan kita sendiri. Kita menganggap anak kita nanti akan menguasainya.

Apakah yang harus dilakukan oleh pimpinan Melayu untuk menangani masalah ini?

UNGKU AZIZ: Para pemimpin harus duduk berbincang dan menggariskan masalah-masalah utama yang dihadapi oleh orang Melayu, dan berusaha menyelesaikannya.

Kita perlu jelas apakah agenda Melayu yang hendak kita capai. Kita harus menggariskan cara-cara untuk menjadikan bangsa Melayu berjaya dan cemerlang.

Orang Melayu rata-ratanya Islam dan berpegang kepada al-Quran. Dalam tulisan pentingnya di majalah al-Ikhwan pada tahun 1927 Pendeta Za'ba mengupas sepotong ayat al-Quran tentang manusia hanya mendapat apa yang dia usahakan. Soalnya apakah manusia Melayu yang Islam ini tidak tahu?

UNGKU AZIZ: Mereka tahu tetapi tidak terdaya kerana malas berfikir dan merasakan itu kerja orang lain. Orang Melayu suka duduk dan tengok orang lain buat. Inilah budaya yang harus diubah.

Masalah orang Melayu ialah mereka suka duduk bersembang, pergi wakaf main dam dan mencari keseronokan, baik yang halal atau haram hanya semata-mata untuk mengalihkan tumpuan daripada dunia sebenar.

Inilah simptom budaya kita yang lemah. Kita tidak ada akar budaya yang kuat yang boleh melonjakkan kita ke depan. Cuba lihat budaya orang Cina yang sudah ada pada diri mereka sejak beribu-ribu tahun lalu. Perkataan kiasu itu jelas menggambarkan watak orang Cina. Kenapa orang Melayu tidak kiasu?

Elok juga saudara bangkitkan tentang Pendeta Za'ba. Beliau menulis buku Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Buku itu kepada saya cukup relevan untuk dibaca semula pada hari ini oleh semua orang Melayu.

Tentang sikap buruk orang Melayu, Munsyi Abdullah juga dulu membangkitkan hal yang sama - kejengkelannya tentang perangai orang Melayu. Gambaran beliau dulu itu masih sama sekarang tetapi setidak-tidaknya Za'ba ada menunjukkan cara keluarnya dalam buku itu.

Bagaimana Pak Ungku melihat isu agenda Melayu ini dan kaitannya dengan UMNO?

UNGKU AZIZ: Para pemimpin UMNO sedang menempatkan diri mereka dalam barisan kepimpinan. Saya hendak bertanya satu soalan yang paling asas: Adakah ini saja yang dikatakan berpolitik?

Kenapa tidak ada pemimpin UMNO yang memberitahu sekiranya terpilih mereka akan memperjuangkan isu-isu pendidikan untuk orang Melayu atau skim makanan khas untuk para pelajar Melayu, misalnya. Inilah yang harus ditanyakan oleh orang Melayu kepada para pemimpin yang hendak bertanding ini: Apa program mereka untuk orang Melayu?

Dalam pemilihan jawatan politik di negara lain, para pemimpinnya bersaing atas isu-isu. Tetapi dalam pemilihan UMNO tidak ada pemimpin yang menyatakan program-program mereka untuk orang Melayu.

Ini yang saya katakan masalah pemikiran orang Melayu tadi - ``orang lain akan buat'', orang yang dipanggil pakar. Mereka hanya perlu menang saja seolah-olahnya yang lain itu akan berlaku dengan kuasa ajaib.

Kita terlalu individualistik. Kita tidak berfikir sebagai satu ummah. Kita individualis nombor satu.

Maksudnya?

UNGKU AZIZ: Kita hendak naik sendiri-sendiri. Kita kena tahu membezakan antara perjuangan untuk kepentingan individu atau perjuangan untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu.

Itu sebabnya kita kena tahu apakah yang mereka hendak tawarkan atas isu-isu orang Melayu. Itulah caranya berpolitik. Jangan kita ada kepercayaan yang naif bahawa pakar-pakar akan menyelesaikan masalah. Kalau mahu jadi pemimpin harus boleh berdiri di atas kaki sendiri.

Tetapi untuk berlaku adil kepada mereka ada yang menyebutnya juga.

UNGKU AZIZ: Ya, tetapi secara umum saja. Apa yang hendak saya tekankan ialah mereka tidak bertanding atas isu-isu yang menyentuh orang Melayu. Mungkin juga mereka tidak memahami isu-isu yang dihadapi oleh orang Melayu.

Atau mungkin juga kerana ada arahan jangan berkempen?

UNGKU AZIZ: Jadi mereka ini bertanding untuk apa? Bolehkah sebuah pemilihan berlaku tanpa ada kempen? Itulah idea demokrasi.

Sekiranya pemimpin UMNO dibenarkan berkempen dan mereka menyatakan agenda mereka, bolehkah politik wang ditangani?

UNGKU AZIZ: Sudah tentu. Mereka akan berjuang atas isu. Kekuatan seorang pemimpin yang hendak dipilih itu akan ternampak melalui pemikirannya tentang sesuatu isu.

Ini satu masalah juga. Kenapa kita menyebut politik wang dan bukan rasuah? Realitinya itulah rasuah. Orang Islam yang baik tidak akan melakukannya. Tetapi sekarang ini kita mengaburkannya dengan mengatakan bahawa itu politik wang.

Apa pandangan Pak Ungku terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya UMNO lebih proaktif memperjuangkan agenda sosioekonomi Melayu dan tidak bergantung kepada kerajaan?

UNGKU AZIZ: Itulah yang sepatutnya. Parti juga harus ada agendanya sendiri, membincangkannya dengan mendalam dan mencadangkan penyelesaiannya kepada kerajaan. Kerajaan hanya pelaksana tetapi agendanya ditentukan oleh parti. Kita harus memahami kelemahan kerajaan kerana ia birokrat. Birokrat tidak boleh berfikir di luar kebiasaan.

Selain itu, ahli korporat Melayu yang berjaya kerana dasar-dasar yang melahirkan kelompok besar kelas menengah Melayu harus juga membantu orang Melayu lain. Apabila sudah lepas ke atas mereka ini seolah-olah terpisah daripada kelompok di bawah. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.

Golongan kacang lupakan kulit inilah yang perlu didekati oleh kerajaan dan UMNO.

Menang Bentuk Kalah Isi

Utusan Malaysia, 8 Ogos 2004
Oleh DATUK DR. NORRAESAH MOHAMAD

APABILA sebut saja tentang agenda Melayu senyuman dan kata-kata sinis akan dilontarkan oleh mereka yang menganggap ini sebagai isu kuno, lapuk bahkan memalukan dalam era ketika perkataan dan konsep yang diterima ialah globalisasi, liberalisasi dan meritokrasi.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan matlamat serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan masyarakat bagi menjamin pengagihan yang adil dan peluang yang saksama kadangkala diperlekehkan sebagai sesuatu yang juga tidak fashionable bahkan tidak relevan.

Kita umpama terlupa bahawa falsafah DEB ialah `pertumbuhan dengan pengagihan' apabila kesamarataan atau equity menjadi buruan yang akhirnya bermatlamatkan perpaduan negara dan kestabilan politik.

Matlamat-matlamat ini tentunya masih relevan. Kalau objektif dan matlamat-matlamat ini tetap relevan dan penting maka kita harus melihat sama ada DEB telah mencapai sasarannya.

Dari mata kasar, orang Melayu nampaknya sudah berjaya. Ramai yang menjadi usahawan, ahli perniagaan yang disegani, jutawan terkenal, ahli korporat berkaliber, ahli-ahli profesional hebat yang dapat bersaing di medan antarabangsa dan juga penyelidik yang diiktiraf oleh rakan setara mereka di luar negara. Apa yang lebih menakjubkan, bilangan para graduan begitu ramai dan semakin meningkat.

Sememangnya dalam masa yang singkat semenjak DEB diperkenalkan pada tahun 1971, orang Melayu telah berjaya berhijrah dari sektor tradisional pertanian, ke sektor-sektor yang dahulunya tidak diterokai atau dimonopoli oleh bangsa asing dan kaum lain.

Kehebatan orang Melayu dalam bidang politik tidak dapat ditandingi. Bahkan inilah satu-satunya bidang di mana orang Melayu hampir memegang kedudukan monopoli. Kebijaksanaan orang Melayu menggubal dasar dalam apa juga bidang diperakui oleh semua. Berasaskan fakta-fakta dan kenyataan-kenyataan ini, orang Melayu berjaya dan seharusnya berjaya.

Tetapi adakah ini benar? Bolehkah kejayaan diukur berasaskan prestasi sejumlah kecil mereka yang berjaya? Adakah Melayu sudah berjaya kerana sudah pandai berjinak-jinak dengan pasaran saham? Adakah quasi monopoli politik bererti kejayaan atau penjamin kepada kejayaan?

Pencapaian sebenar orang Melayu harus diukur secara menyeluruh dan berasaskan bandingan relatif, dan bukan absolute iaitu bukan setakat melihat kedudukan dulu dan sekarang tetapi membuat perbandingan pencapaian sosioekonomi orang Melayu yang kebetulan adalah 61 peratus penduduk Malaysia dengan kaum-kaum lain.

Matlamat DEB dan falsafah `Pertumbuhan dengan Ekuiti' atau kesamarataan hanya akan dianggap tercapai sekiranya jurang perbezaan antara orang Melayu dan kaum-kaum lain dalam tiga soal penting iaitu pendapatan, pekerjaan dan pengwujudan kekayaan (wealth creation) tidak ketara atau tidak lebar.

Petunjuk-petunjuk sosioekonomi penting yang ada menyangkal tanggapan bahawa orang Melayu secara menyeluruh sudah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Di sektor-sektor berproduktif tinggi dan di mana nilai tambahan adalah tinggi, terutama sektor pembuatan, kehadiran orang Melayu terlalu kecil. Walhal sektor ini merupakan penjana utama pertumbuhan ekonomi negara, menyumbang 30% kepada KDNK negara tiap tahun.

Sektor perkhidmatan yang dikenal pasti, bahkan sudah pun terbukti sebagai sektor yang dinamik dari segi pertumbuhan dan sumbangan pada KDNK masih tidak menyaksikan penyertaan yang bermakna daripada orang Melayu.

Dalam industri runcit yang berjumlah RM60 bilion setahun dan berkembang pada 9.2 peratus setahun, penyertaan orang Melayu mengecewakan. Galakan yang diberi untuk memajukan industri kecil dan sederhana bertujuan membentuk masyarakat perniagaan dan perdagangan bumiputera (MPPB).

Untuk ini berbilion ringgit diperuntukkan, tetapi pencapaian masih jauh dari sasaran. Sebagai contoh dalam program francais, hanya 572 francaisi dapat dilahirkan dari sasaran 1,200 di bawah RMK7. Di samping itu, daripada jumlah peruntukan pembiayaan yang begitu besar, pengusaha Melayu yang melanggan masih dalam minoriti.

Sasaran untuk mencapai 30 peratus ekuiti bagaikan sesuatu yang mustahil. Daripada 20.6 peratus yang dicapai pada awal 1997, peratusan menurun akibat krisis kewangan yang melanda pada Julai tahun yang sama. Kini peratusan berada pada tahap yang lebih rendah iaitu 18.3 peratus.

Sementara kita berbangga dengan jumlah bilangan profesional Melayu yang meningkat seperti doktor, jurutera, akauntan, arkitek, peguam dan lain-lain, kita dikejutkan oleh perangkaan yang menunjukkan bahawa dari sudut relatif, orang Melayu jauh ketinggalan.

Apa yang merunsingkan lagi, 90 peratus, jika tidak lebih, dari ribuan para graduan yang menggangur terdiri daripada anak-anak Melayu. Ini antara lain menunjukkan bahawa anak-anak Melayu tidak mempunyai ciri-ciri yang menentukan employability. Disiplin yang diikuti mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan atau ada perkara-perkara yang tidak membantu di luar penglihatan.

Petunjuk yang lebih membimbangkan ialah nisbah pendapatan antara orang Melayu dan bukan Melayu yang semakin mengengkang. Sebelum DEB jurang berbezaan dalam pendapatan atau income disparity ratio antara Melayu dan Cina ialah 1:2.29. Pada tahun 1999 ia menurun pada 1:1.74 dan kini berada pada tahap 1:1.83.

Ini bermakna bahawa bagi setiap satu ringgit yang orang Melayu perolehi, rakan Cinanya memperoleh hampir dua kali ganda. Ini juga bererti matlamat kesamarataan antara kaum iaitu aspek penyusunan semula masyarakat jauh dari sasaran.

Kini kita menghadapi cabaran-cabaran baru berbagai-bagai bentuk dan nama; globalisasi, liberalisasi, saingan antarabangsa, dunia ICT, K-ekonomi yang akan meletakkan orang Melayu lebih jauh dari pembangunan, sekiranya keadaan yang ada berterusan dan orang Melayu sendiri masih dalam state of denial dan menidakkan realiti.

Banyak yang sudah diperkatakan tentang jurang digital yang akan lebih memburukkan lagi landskap sosioekonomi Melayu. Banyak lagi angka dan petunjuk yang dapat dipaparkan untuk membuktikan bahawa orang Melayu jauh ketinggalan dalam pelbagai segi dan bidang.

Berlandaskan petunjuk-petunjuk di atas sahaja tanpa data perangkaan lain dan analisis yang lebih terperinci, orang Melayu tidak boleh menganggap mereka sudah berjaya dan begitu bersedia beraksi di pentas meritokrasi.

Kejayaan segolongan kecil tidak boleh diterjemahkan sebagai kejayaan orang Melayu, apatah lagi apabila majoriti di antara kita iaitu the critical mass masih ketinggalan jauh dan terpinggir dari arus pembangunan sebenar. Kejayaan minoriti juga sukar dipertahankan sekiranya kelompok yang kritikal tidak bersama kerana secara purata ia melemahkan pencapaian menyeluruh.

Orang Melayu terutama yang sudah berjaya sama ada sebagai usahawan atau profesional muda yang berpotensi harus menyedari dan mengakui bahawa mereka `bertempat' hasil daripada strategi-strategi di bawah DEB.

Mengembalikan DEB dalam apa jua bentuk rupa dan nama bukan soal memberi keutamaan kepada orang Melayu tetapi sebagai mekanisme berkesan untuk mencapai pertumbuhan dengan pesamarataan (Growth with equity).

Strategi pembangunan yang berfokuskan pemindahan orang Melayu ke sektor berproduktif tinggi tanpa kebocoran dalam pelaksanaan, akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih tinggi. Potensi kuasa membeli 61 peratus penduduk harus digilap untuk kepentingan pertumbuhan secara menyeluruh.

Orang Melayu perlu mengulang kaji ekonominya, terutama cendekiawan intelek dan pemimpin. Berhadapan dengan proses globalisasi dan liberalisasi yang mengancam kesejahteraan yang ada, cabaran kepada negara ialah mempertahankan pertumbuhan dan daya saing.

Ada dua peringkat cabaran kepada orang Melayu - peranan dan tanggungjawab yang berganda. Tanggungjawab pertama ialah kepada diri sendiri sebagai komponen penduduk yang terbesar dan kedua sebagai rakyat Malaysia.

Orang Melayu, dan bukan hanya kerajaan, harus menghitung dan memutuskan sama ada mereka mahu melihat jurang perbezaan pendapatan, pekerjaan dan pengumpulan kekayaan yang terdapat antara Melayu dan kaum lain didekatkan atau sebaliknya. Orang Melayu sendiri harus memikul tanggungjawab menyamaratakan padang permainan ekonomi.

Untuk melakukan ini orang Melayu mesti mempunyai keazaman yang cekal digandingi usaha yang gigih dan berterusan. Berbekalkan ciri-ciri ini barulah dasar dan strategi sokongan daripada kerajaan boleh membawa kesan dan makna. Jika ini berjaya dilakukan orang Melayu akan memenuhi tanggungjawab keduanya sebagai warga Malaysia apabila kapasiti yang meningkat membantu negara menghadapi cabaran dari luar.

Jelas bahawa soal peningkatan orang Melayu, mengikut proses timbal balik, ialah soal kepentingan negara. Cabaran utama yang harus dihadapi segera oleh orang Melayu ialah kesedaran dan kejujuran menerima segala realiti.

Penyelesaian bermula dengan menerima kenyataan dan bukan menidakkannya. Penyelesaian juga bermula dengan mengenali kelemahan bukan mencari kesalahan.

Jika orang Melayu tidak sanggup menerima kenyataan tentang kelemahan serta tidak sanggup pula bertindak untuk memperbaiki kedudukan, mereka akan dicatat dalam sejarah sebagai kaum yang berjaya dalam bentuk (form) tetapi kalah dalam substance. Orang Melayu memperjuangkan dan memenangi kemerdekaan tetapi gagal meraih hasil kemerdekaan itu.

UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. Ahli-ahli UMNO harus menjadi orang pertama menyedari dan memberi perhatian terhadap soal agenda Melayu.

Adalah diharapkan bahawa, menjelang Perhimpunan Agung UMNO September ini, para perwakilan dan pemimpin UMNO, dalam keghairahan pemilihan dapat memberi tumpuan kepada soal ini.

Ungkapan `agenda Melayu' yang kadang- kala dianggap sebagai ungkapan `menghina' (derogatory) dalam konteks political correctness hari ini harus mendapat pengertian sebenar.

Agenda Melayu bukan soal ketuanan Melayu atau memberi keutamaan kepada orang Melayu tetapi ia adalah soal kesamarataan (equity) sosioekonomi dalam pembangunan negara yang majmuk.

* DATUK DR. NORRAESAH MOHAMAD ialah Pengerusi Alcatel Network Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO

Bara Kesedaran Sudah Ada - "Orang Melayu perlu dipaksa untuk berubah"

Utusan Malaysia 4 September 2006


Mukadimah
PEMIKIR ekonomi yang disegani, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz dikenali sebagai antara orang yang cukup gigih menghabiskan masanya memikirkan tentang masalah kemiskinan desa.

Bukunya Jejak-jejak di Pantai Zaman yang terbit pada tahun 1987 sehingga hari ini kekal menjadi salah satu analisis yang cukup menarik tentang kemiskinan orang Melayu.

Tulisan beliau yang menghuraikan pemikiran Pendeta Za’ba tentang kemiskinan orang Melayu serta strategi-strategi pembasmiannya itu masih relevan untuk direnungkan sehingga ke hari ini.

Sebagai seorang yang tidak begitu percaya kepada usaha peningkatan ekuiti orang Melayu sebaliknya lebih cenderung kepada pendekatan merapatkan jurang kemiskinan melalui penambahan pendapatan, Pak Ungku nyata cukup gembira dengan apa yang dibentangkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), baru-baru ini.

Pak Ungku cukup tertarik kepada pendekatan baru yang diperkenalkan oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memajukan kawasan luar bandar dan desa, dan beliau menaruh keyakinan bahawa semua cita-cita itu boleh dicapai.

“Tidak ada yang mustahil, terpulang kepada pengurusan dan pelaksanaannya.

“Tidak ada dalam RMK-9 ini yang tidak boleh dilaksanakan. Kita bukannya Nepal, kita Malaysia,” katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI yang datang berkunjung ke rumahnya, baru-baru ini.

Pak Ungku, 83, berpegang kepada analisis awalnya bahawa kemiskinan orang Melayu berpunca daripada tiga sebab: Produktiviti yang rendah, penindasan dan keadaan yang terabai.

Beliau banyak bercakap tentang pentingnya orang Melayu menukar perspektif dan pemikiran mereka tentang hidup, tentang usaha dan tentang mencari kekayaan.

Pak Ungku cukup yakin bahawa nasib orang Melayu yang rata-ratanya masih ketinggalan dari segi ekonomi boleh diubah, asal saja pemimpin bersedia memaksa orang Melayu untuk melakukan sesuatu yang baru.

MINGGUAN: Apakah yang paling menarik perhatian Pak Ungku dalam RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Ada perbezaan yang ketara antara dulu dan sekarang, antara RMK-9 dengan RMK-8 atau RMK-7. Ini satu perubahan yang besar dan sangat nyata. Idea utama sebelum ini ialah satu kepercayaan bahawa Malaysia akan maju dari segi industri, menjual perkhidmatan dan kewangan.

Idea sebelum ini ialah pembangunan industri akan membawa kepada kemajuan negara. Kalau nasibnya baik, kemajuan itu akan trickle down (meleleh) ke kawasan luar bandar dan desa. Tetapi masalahnya ialah orang lain dapat sungai, orang Melayu secara sebaliknya dapat titis-titisnya saja.

Kepada saya, simbol daripada idea itu sebahagiannya boleh kita lihat pada Putrajaya yang ada bangunan yang cantik-cantik dan sebagainya. Tetapi kalau kita bandingkan dengan keadaan di desa, di Kedah dan Kelantan misalnya, kata orang, sepuluh jong masuk, anjing tetap bercawat ekor.

Ini sangat menyedihkan kepada saya. Kita tidak memberikan keutamaan kepada keadaan di desa. Itu sebabnya kita harus kembali kepada semangat Dasar Ekonomi Baru iaitu membasmi kemiskinan, terutamanya golongan desa yang masih berhadapan dengan kemiskinan yang menyeluruh.

Bagaimana dengan RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Kita boleh melihat ada satu perspektif yang baru, yang memberikan perhatian dan keutamaan baru kepada pembangunan desa. Ini sesuatu yang sangat menarik kepada saya.

Malah sejak menang pilihan raya yang lalu pun, Perdana Menteri nampaknya sudah memikirkan usaha-usaha bagaimana hendak menolong orang kampung, meningkatkan pertanian dan keadaan mereka di utara Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak.

Mereka ini, kalau mengikut analisis saya, secara relatifnya telah banyak terabai. Abdullah sedang berusaha sedaya upaya untuk cuba memberikan satu timbalan kepada pembangunan negara; menyeimbangkan antara pembangunan di bandar dan di desa, serta merapatkan jurang ekonomi rakyat.

Apakah hal-hal yang selama ini mengganggu Pak Ungku, tentang kemiskinan desa khususnya, sudah terjawab dalam cita-cita RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Abdullah sudah mula menjawab hal-hal itu. Beliau cukup sedar tentang itu tetapi pada masa yang sama, ada banyak masalah dan kerenah birokrasi yang harus diselesaikannya dulu.

Masalah utama kita iaitu penyampaian. Kita boleh menjanjikan sesuatu tetapi untuk melaksanakannya adalah satu perkara yang lain pula. Tugas utama Abdullah sekarang ialah memastikan semua cita-cita itu terlaksana.

Bolehkah kita membangunkan luar bandar, membasmikan kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi? Saya bertanyakan soalan ini kerana itulah juga cita-cita DEB.

UNGKU AZIZ: Sudah tentu, kenapa tidak? Kita mempunyai tanah, sumber yang utama kepada segala usaha pembangunan ini.

Tetapi cuba kita lihat bidang pertanian. Saya sendiri sebenarnya tidak berapa yakin kita boleh mengubah pertanian daripada keadaan yang ada sekarang kepada sesuatu yang lebih moden seperti di Amerika Syarikat, Australia atau Belanda.

Kenapa?

UNGKU AZIZ: Ia melibatkan kos yang banyak, berintensifkan modal. Ladang-ladang di Australia misalnya besar, dan ia tidak menjadi masalah. Kita tidak mungkin dapat jadi seperti Australia.

Tetapi kita boleh melakukannya sekarang kalau kita tidak lagi cuba mengeluarkan hasil pertanian yang nilainya tidak begitu tinggi, misalnya padi. Saya percaya kalau kita import padi yang lebih murah dari Thailand, ia masih lagi menguntungkan negara.

Kita tidak usah tanam padi, maksudnya?

UNGKU AZIZ: Ya, kita gantikan padi itu dengan sayur-sayuran. Kenapa petani kita tidak menanam sayur-sayuran dengan meluas? Kenapa kita hadkan penanaman sayur-sayuran di Cameron Highlands? Kenapa tidak ada kebun sayur yang besar di tempat lain? Kita boleh tanam untuk kegunaan tempatan dan selepas itu boleh dieksport. Jangan kita bermula dengan berfikir untuk eksport saja. Itu kepada saya, mengarut. Apa-apa hal, perut orang kita harus diisikan dahulu.

Kenapa orang Melayu tidak cuba menanam dan menjual bunga? Bunga-bungaan sudah boleh dijual ke seluruh dunia dengan jaringan lapangan terbang yang baik sekarang. Tetapi penanaman dan penjualan bunga dikuasai hampir secara monopoli oleh orang Cina, dan terhad di beberapa kawasan saja.

Saya tidak boleh faham kenapa orang Melayu tidak menjadi penanam bunga dan penjual bunga? Apa yang mereka tidak tahu tentang pertanian? Orang Melayu adalah masyarakat pertanian selama beribu-ribu tahun. Apa masalahnya?

Ya, apa masalahnya?

UNGKU AZIZ: Kepada saya, ini adalah masalah mindset. Kita harus menukar mindset itu – jangan tanam padi, tanam bunga; jangan tanam padi, tanam sayur-sayuran. Insya-Allah, hasilnya lebih baik.

Malah kalau orang Melayu menanam ubi kemili pun hasil pendapatannya tentu lebih baik. Orang Melayu boleh menambahkan pendapatan yang lebih lumayan bukan hanya dengan menanam ubi tetapi menghasilkan kerepek. Adakah ini berlaku?

Kita selalu bermimpi tentang kumpulan profesional yang akan menguruskan ladang, tetapi di mana mereka ini? Apa yang saya nampak ialah pengurus ladang komoditi yang dieksport, dan mereka bukannya mengendalikan hasil pertanian barang keperluan seharian kita.

Apakah pandangan Pak Ungku tentang usaha untuk membangunkan kawasan ekonomi baru di utara dan timur Semenanjung.

UNGKU AZIZ: Ini sesuatu yang baik tetapi pada masa yang sama, kita harus berhati-hati. Kita harus menggunakan pembangunan koridor baru itu untuk kemajuan orang Melayu di desa. Apabila kita membuka jalan dan kawasan pembangunan baru kita harus juga memerhatikan siapa yang masuk dan membuka perniagaan di situ.

Orang Melayu di Gua Musang, misalnya, adalah orang Melayu yang sama keadaannya sejak bertahun-tahun dahulu, tidak jauh berubah. Sekarang kita sudah ada lebuh raya yang menghubungkan antara Cameron Highlands dengan Gua Musang. Apakah yang akan berlaku selepas ini?

Saya percaya akan ada orang yang datang untuk membeli tanah, membuka kawasan perumahan dan perindustrian. Tetapi apakah orang Melayu di kawasan itu akan merebut peluang itu, atau mendapat manfaatnya? Apabila tidak cukup pekerja, kita mencari pekerja dari Indonesia.

Kita perlu menyelesaikan masalah-masalah ini kalau kita mahu meningkatkan keadaan sosioekonomi orang Melayu. Kita perlu mengubah mindset.

Ini soal sikap. Apa lagi masalah orang Melayu?

UNGKU AZIZ: Masalahnya ialah perspektif dunia dan pemimpin yang banyak bercakap serta sentiasa berfikir untuk menukar butang pada kotnya, daripada butang biasa kepada butang emas; selalu memikirkan tentang pangkat dan stail, dan kurang memikirkan tentang rakyat.

Tetapi daripada SMS yang disiarkan dalam akhbar, televisyen atau radio, orang Melayu nampaknya sudah mula sedar. Bara kesedaran itu sudah ada dan kalau dikipas ia nanti akan menyala.

Dalam hendak membasmikan kemiskinan dan membangunkan desa, ada orang percaya kita tidak lagi boleh menggunakan cara-cara lama untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran baru. Apa pandangan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Kata orang, semakin keadaan berubah, semakin semuanya kekal begitu juga. Balik-balik begitu juga, dan dari satu segi, kalau difikir-fikirkan kita sebenarnya tidak banyak berubah. Cara-cara lama itu kononnya jadi semacam biawak di atas belakang, yang sekarang ini hendak kita buang. Kita boleh membuang biawak itu tetapi mesti ada idea baru yang sudah ada di situ.

Saya suka hendak menyebut semula tiga punca kemiskinan yang pernah saya kaji sebelum ini, iaitu produktiviti yang rendah, penindasan dan keadaan yang terbiar.

Produktiviti masyarakat Melayu di desa secara relatifnya begitu rendah kalau dibandingkan misalnya, dari segi waktu bekerja atau saiz tanah yang dikerjakan. Orang Melayu juga memang sering ditindas dan mendapat pulangan yang tidak setimpal, termasuk kadang-kadang ditipu oleh orang Melayu sendiri. Keadaan terbiar itu berlaku kerana sumber yang ada itu diberikan keutamaan kepada kawasan kota dan kepada sekumpulan orang tertentu.

Kenapa kita tidak memerlukan cara-cara baru?

UNGKU AZIZ: Kenapa harus ada cara-cara baru kerana masalahnya masih juga yang itu? Kita harus meningkatkan produktiviti, memastikan tidak ada penindasan dan memberikan perhatian kepada kawasan dan kumpulan yang terbiar.

Tetapi sekarang ada perubahan yang besar dalam pendekatan Abdullah melalui RMK-9 ini. Beliau mahu memberikan peluang kepada orang Melayu, kepada masyarakat di luar bandar. Perubahanperubahan itu pula bukanlah sesuatu yang tidak boleh dilakukan, bukan sesuatu yang mustahil.

Allahyarham Prof. Nik Abdul Rashid Nik Majid dalam satu analisisnya mengatakan ada tiga jenis kemiskinan. Pertama, kemiskinan semula jadi yang cukup sukar diatasi akibat faktor sumber dan alam. Kedua, kemiskinan yang dikenakan apabila seseorang tidak boleh melakukan sesuatu walaupun berdaya dan mampu. Ketiga, kemiskinan yang dicari iaitu orang yang sedar perbuatannya mendatangkan kemiskinan tetapi dia buat juga.

UNGKU AZIZ: Apa yang utama ialah kemiskinan yang kedua itu. Tentang kemiskinan yang pertama itu, saya percaya ada jalan penyelesaiannya. Suatu masa yang lama dahulu, di tengah-tengah Gurun Sahara ada pusat perdagangan yang besar.

Jadi, apa yang penting di sini ialah sikap manusia itu sendiri. Ia bergantung kepada manusia. Manusia boleh membuat padang pasir menjadi makmur. Inilah yang selalu saya sebutkan dengan mengulang-ulang pesanan Pendeta Za'ba, perangai bergantung kepada diri sendiri.

Saya lebih suka melihat kepada kemiskinan jenis yang kedua itu. Isu yang penting ialah peluang. Adakah kita mempunyai peluang yang banyak? Kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang untuk membasmikan kemiskinan dengan peruntukan yang besar. Tetapi soalan penting yang harus ditanya oleh semua orang sekarang ialah apakah masyarakat di desa, di luar bandar, di utara Semenanjung Malaysia itu akan merebut peluang-peluang ini.

Ini akan banyak bergantung kepada kesungguhan diri. Kita harus menukar sikap orang tentang kesungguhan. Orang muda mesti ada harapan.

Apakah kita ada harapan?

UNGKU AZIZ: Ada, contoh-contohnya juga ada. Sekarang ini kalau kita lihat di universiti, 65 hingga 70 peratus ialah wanita dan kebanyakannya Melayu. Mereka sudah memegang jawatan penting dalam masyarakat. Ertinya, kita sudah memberikan peluang dan mereka mengambil peluang itu, ada ilmu dan kepakaran teknologi.

Kalau ada yang tidak mencapai peluang yang diberikan itu, kita mesti mula mencari apa puncanya.


Bagaimanakah mahu melaksanakan perubahan cita-cita dalam RMK-9 ini?

UNGKU AZIZ: Itulah yang menjadi cabarannya sekarang. Membuat janji, mudah tetapi melaksanakannya itu lebih penting. Saya berharap semua orang memahami apa yang dicita-citakan ini. Orang mesti sedar bahawa ini satu peluang yang terbaik untuk kita membasmikan kemiskinan.

Saya kata begitu kerana Abdullah diketahui seorang pemimpin yang jujur. Orang di sekelilingnya, itu cerita lain tetapi beliau sendiri sifatnya telah diketahui. Wataknya memang begitu. Saya kenal beliau sejak dari zaman mahasiswanya lagi. Beliau telah dibesarkan dengan pengaruh ayah dan datuknya yang warak tetapi bukan kuno.

Apakah yang boleh menggagalkan usaha-usaha perubahan ini?

UNGKU AZIZ: Abdullah sendiri pun hampir setiap hari atau setiap minggu sekarang, saya kira perkataan yang sesuai ialah, berleter kepada para pegawai kerajaan. Beliau nyata cukup tidak berpuas hati melihat budaya kerja birokrat yang tidak akan membantu usaha-usaha pembangunan ini.

Sekarang ini kita membawa orang dari Universiti Harvard untuk membetulkan sektor awam. Saya tidak tahu apakah yang boleh diberitahu oleh orang dari Harvard ini yang kita sendiri belum tahu? Kuncinya ialah bagaimana memberikan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya untuk kepentingan diri sendiri, atau rasuah dan penyelewengan.

Perkara yang paling utama ialah penyampaian. Kita ada idea yang baik dan sumber yang baik tetapi bagaimana hendak memastikan ia tidak diseleweng oleh birokrat atau korporat yang tidak jujur.

Bagaimana hendak selesaikan masalah rasuah ini?

UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti merasakan rasuah itu sebagai satu dosa. Tetapi masalahnya orang tidak lagi rasa berdosa sehingga ia menjadi lumrah dan orang tidak lagi sedar dia rasuah.

Kita harus menekankan bahawa rasuah itu satu dosa, baik penerima mahupun pemberi. Kalau ada rasa yang seperti itu, dalam hati nurani mereka akan timbul kesedaran untuk tidak melakukannya.

Orang Islam harus sedar bahawa setiap orang suatu hari pasti akan meninggal dunia. Selepas mati, orang yang berdosa akan masuk neraka. Apabila berhadapan dengan rasuah orang mesti ada kesedaran seperti ini. Tetapi orang sebaliknya percaya setelah rasuah mereka boleh menggandakan ibadah untuk menyeimbangkan pahala dan dosa.

Apa lagi yang perlu orang Melayu lakukan?

UNGKU AZIZ: Orang Melayu mesti kiasu sedikit. Mesti ada perasaan mahu berjaya, tidak kira apa juga halnya dan tidak pedulikan orang lain. Orang Melayu mesti mula berfikir mementingkan diri sendiri.

Bolehkah kita bentuk watak baru itu?

UNGKU AZIZ: Kita mesti ada pemimpin yang bersedia memimpin. Kita tidak mahu pemimpin seperti dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang berebut jawatan sesama mereka seperti ulat tahi. Mereka sepatutnya memimpin belia Melayu tetapi tengok apa yang berlaku. Teruk.

Bagaimana mahu mengatasi masalah sikap yang Pak Ungku sebutkan itu?

UNGKU AZIZ: Aspirasi orang muda khususnya lelaki bak kata orang Cina, chinya telah hilang. Tayarnya pancit, angin sudah keluar. Kita mesti betulkan kebocoran itu dan pam angin yang baru supaya dia boleh jalan lagi. Inilah yang harus diberikan perhatian sekarang – membina satu sikap baru.

Bagaimana?

UNGKU AZIZ: Tentunya bukan dengan syarahan dan ceramah. Kita mesti menunjukkan contoh, memberikan latihan dan paksa mereka buat. Orang Melayu mudah berubah dan memberikan respons yang lebih baik dengan paksaan berbanding pujuk rayu. Kalau kita pujuk-memujuk, nanti ada pelbagai alasan macam loyar buruk.

Mereka memerlukan orang yang boleh mengatakan: “Buat! Mari kita naik bot pergi ke laut dan bawa balik ikan besar.” Kita mesti paksa kalau kita mahu membetulkan perspektif orang Melayu. Kita mesti jelas tentang apa yang kita mahu mereka lakukan.

Kenapa kita mesti paksa?

UNGKU AZIZ: Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya adalah satu daripada kejayaan cara paksaan ini. Kita pilih anak desa untuk diberikan peluang, dan kita paksa mereka; kalau lulus baru boleh naik semester, kalau tidak balik kampung. Selepas lulus dua semester, mereka masuk ke fakulti perubatan atau kejuruteraan.

Kita boleh lihat kejayaan paksaan itu daripada senarai nama mereka yang pernah melalui Pusat Asasi Sains. Tetapi malangnya ia sekarang disabotaj sejak beberapa tahun lalu apabila kita memperkenalkan sistem meritokrasi. Kita sudah tersilap perkiraan. Kenapa kita bercakap tentang meritokrasi ketika orang Melayu itu sendiri sudah handicap?

Masuk saja ke universiti mereka sudah ketinggalan dari segi penguasaan bahasa, kemahiran belajar, badan yang tidak sihat dan sebagainya. Itu sebabnya kita memerlukan affirmative action, seperti yang dilakukan oleh banyak negara lain. Kenapa kita harus teragak-agak untuk melakukannya? Kita mesti jelas dan tegas.

Tetapi orang melihat ini tidak lagi sesuai, bersifat perkauman.

UNGKU AZIZ: Kita mesti jelas dan tegas kenapa kita harus menggantungkan meritokrasi sehinggalah ke satu masa yang sesuai, apabila ada keseimbangan. Sekarang ini keseimbangan itu tidak ada. Jurangnya masih besar. Apakah kita tidak mahu membetulkan keseimbangan itu ketika wanita menguasai universiti? Ini tidak seimbang dan akan menimbulkan masalah besar di kemudian hari.

Kita mesti hadapi ini dengan sikap yang jujur dan berani. Kita tidak boleh lagi segan. Kita mesti tegas dan berani mengatakan bahawa kita orang Melayu, dan kita mahu menakluk dunia. Kenapa harus segan? Kenapa malu mengaku Melayu dan mengatakan kita orang Malaysia. Kalau Melayu, Melayulah. Saya melihat ini adalah satu affirmative action, walaupun kita tidak menggunakan perkataan ajaib itu.

Harapan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Saya anggap ini sebagai satu wake up call. Tetapi sama ada orang dengar dan selepas itu terus tertidur, hanya masa beberapa tahun akan datang ini yang boleh menentukan.

Kita misalnya harus memikirkan apakah kita mahu melahirkan usahawan yang benar-benar usahawan, atau usahawan yang setengah masak – sekerat usahawan, sekerat pentadbir seperti yang ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?

Kita mesti melahirkan lebih banyak usahawan yang naik dan jatuh kerana mereka berani mengambil risiko. Keberanian itulah yang akan menentukan seseorang usahawan itu berjaya, atau kurang berjaya atau rugi tetapi mampu bangun semula. Kita tidak mahu usahawan yang kalau rugi menyerahkan masalah itu kepada kerajaan, dan bukan masalah mereka.

Kalau mahu jadi usahawan kita mesti kiasu. Kalau untung, untung. Kalau rugi, sanggup bangun semula.

Implikasi nuklear Korea Utara

Utusan Malaysia, 15 Oktober 2006


Oleh Zin Mahmud

APABILA Korea Utara akhirnya mengadakan ujian senjata nuklear, maka hendak tidak hendak wajar diterima bahawa ia sudah menyertai negara kesembilan dalam kelab negara-negara bersenjata nuklear.

Ia dengan jelas menandakan kegagalan Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia menghalang Korea Utara daripada menjadi negara nuklear. Kegagalan akan membawa perubahan sikap dan dasar oleh negara-negara tersebut terhadapnya.

Begitu juga dengan Jepun dan Korea Selatan yang memberi petanda mahu menghentikan ‘dasar cahaya matahari' iaitu sikap lembut Seoul terhadap Pyongyang.

Bagaimanapun, perdebatan yang berlaku di negara-negara yang terlibat itu adalah sama ada untuk bersikap keras atau lembut bagi masa-masa akan datang. Ada pihak yang mahukan lima negara yang menangani isu itu untuk lebih bersikap keras bagi mengajar Korea Utara. Sementara pihak lain pula mahukan sikap yang lebih lembut.

Tetapi hakikatnya, hendak tidak hendak mereka mesti menerima bahawa Korea Utara sudah menjadi sebuah negara nuklear.

Tentunya keadaan ini tidak memberi contoh yang baik kepada Iran. Kalau Korea Utara boleh melakukannya, apa salahnya untuk Iran turut memiliki senjata nuklear?

Tetapi Iran berbeza. Kalau AS tidak begitu tegas dengan Korea Utara, mereka akan bersikap berkeras kepada Iran.

Alasan akan dikemukakan bahawa sikap AS yang dianggap lembut selama ini telah menyebabkan Korea Utara berdegil dan meletupkan senjata nuklearnya. Maka sikap seumpama itu tidak boleh dilanjutkan kepada Iran. Teheran mesti ditangani secara keras oleh Washington.

Maka dunia akan menuduh AS sebagai bersikap dwistandard (double standard). Suatu tuduhan yang tidak dipedulikan oleh AS kerana sememangnya begitulah sikapnya selama ini, iaitu sepanjang Perang Dingin yang menunjukkan bagaimana Washington menyokong negara-negara diktator yang antikomunis dan menentang negara-negara demokrasi yang tidak menjadi sekutunya.

Apa yang menjadi perkiraannya bukanlah demokrasi seperti yang dilaungkannya tetapi hegemoni AS.

Inilah yang akan berlaku di Asia Barat. Seburuk-buruk ancaman Korea Selatan, sasarannya hanyalah negara-negara jirannya iaitu Korea Selatan dan Jepun. AS berada jauh daripada rantau itu.

Tetapi kedudukan Iran berbeza. Persenjataan nuklearnya akan mengancam Israel, sekutu kuat AS. Bukan saja Israel merupakan sekutu AS tetapi merupakan jiwa dan roh kuasa besar itu.

Tidak seperti Jepun dan Korea Selatan, Israel merupakan negara suci bagi AS. Israel adalah sebuah negara Yahudi tetapi kota Yahudi terbesar dunia tidak terletak di Israel, tetapi ia berada di AS, iaitu New York. Dan New York adalah juga ibu kota dunia, dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di situ. Ia juga merupakan pusat ekonomi serta budaya dunia.

Dunia sudah menerima AS dan Israel mempunyai hubungan istimewa. Bersama Britain ia menjadi paksi hegemoni Barat: AS, Britain dan Israel.

Sementara Washington telah pun menamakan Iran, Syria dan Korea Utara sebagai paksi kejahatan.

Syria dan Iran pula merupakan sekutu kuat yang terang-terang menentang Israel. Korea Utara bukannya sekutu Syria dan Iran.

Tetapi dari segi teknologi senjata, bagi AS, Korea Utara merupakan negara yang menjual dan membantu program nuklear Iran.

Kejayaan ujian senjata nuklear Korea Utara juga memberikan isyarat kepada Iran betapa mereka telah mempunyai kemampuan untuk membangunkannya.

Dalam kedudukan ekonomi yang terdesak lebih-lebih lagi apabila mengalami sekatan ekonomi oleh AS, China dan Rusia ekoran ujian senjata nuklear itu, maka Korea Selatan akan bersedia menjual teknologi dan kepakarannya kepada Iran.

Pemantauan

Perkara inilah yang tidak dikehendaki oleh AS tetapi ia seolah-olah lemah untuk menanganinya. Bagaimanapun dalam pemantauan AS, saintis Pakistan yang membangun senjata nuklear negaranya, Abdul Qadir Khan telah menjual kemahiran kepada Iran, Libya dan Korea Utara tanpa disedari oleh kerajaannya. Abdul Qadir kini berada dalam pemerhatian kerajaan di negaranya, setelah dipecat, membuat pengakuan dan diampunkan.

Jadi Pakistan sebagai sebuah negara sekutu AS mendapati saintisnya membantu Iran, Libya dan Korea Utara yang merupakan musuh AS.

Senjata nuklear yang dibangunkan Pakistan pada tahun 1998 dikenali oleh setengah kalangan Barat sebagai ‘bom Islam'. Dan apa yang mereka mahu menghalang sekarang ialah munculnya ‘bom Islam' kedua iaitu oleh Iran.

Tetapi mengapakah senjata nuklear yang dibangunkan oleh sebuah negara Islam dipanggil ‘bom Islam'. Sedangkan tidak pula timbul istilah bom Kristian, bom Yahudi dan bom ateis?

Jika mereka mahu menyebut apa yang dibangunkan oleh Pakistan dan Iran itu sebagai bom Islam, maka AS merupakan negara pertama yang membangunkan bom Kristian pada tahun 1945. Ini diikuti oleh dua lagi bom Kristian yang dibangunkan oleh Britain pada tahun 1952 dan Perancis pada tahun 1960. Kesemuanya dengan bantuan kepakaran AS.

Rentetan program ini dibalas dengan bom ateis yang dibangunkan oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1949, diikuti oleh China pada tahun 1964. Korea Utara ini boleh dianggap sebagai bom ateis ketiga.

Senjata nuklear yang dibangunkan oleh India pada tahun 1974 boleh dipanggil sebagai bom Hindu. Lebih-lebih lagi ia dibangunkan ketika New Delhi diperintah oleh parti nasionalis Hindu, Parti Bharatia Janata (BJP). Ia bertujuan menakutkan Pakistan.

Bagaimanapun, saintis yang mengusahakan bom India ialah seorang Islam yang kini menjadi Presiden India atas sokongan BJP iaitu Dr. ABJ Abdul Kalam. Tetapi bom India itu juga dikenali sebagai “Buddha tersenyum.”

Maka adakah bom India itu boleh dikatakan gabungan bom Hindu-Islam-Buddha?

Bagaimanapun bom paling istimewa ialah bom Yahudi. Israel adalah satu-satunya negara yang diketahui umum sebagai memiliki 200 bom nuklear seperti yang diakui oleh Persatuan Kawalan Senjata dan Insiatif Ancaman Nuklear. Masalah rejim Tel Aviv itu tidak pernah mengesahkannya dan AS tidak pernah mempersoalkannya.

Kehadiran bom Yahudi inilah yang mendorong Iran, Libya dan Iraq zaman Saddam Hussein mahu membangunkan bom tandingan. Tetapi Libya yang pernah berusaha ke arah itu telah mengisytiharkan pembatalan program itu apabila ia kini dianggap sudah tidak memusuhi AS.

Bagaimanapun, seorang saintis paling terkemuka abad ke-20 yang berbangsa Yahudi merupakan pembuka jalan secara teori kepada kemampuan manusia untuk membangunkan senjata nuklear. Saintis itu ialah Albert Einstein yang menemui Teori Relativiti.

Tetapi beliau penentang pembangunan bom nuklear. Beliau yang menyokong Zionisme dan penubuhan Israel pernah ditawarkan oleh pengasas-pengasas Israel sebagai presiden pertama negara itu.

Perkauman

Bagaimanapun, beliau menolak kerana mahu menumpukan pada kerja-kerja sains. Namun begitu, gagasan negara Israel bagi beliau bukanlah berbentuk perkauman atau keagamaan seperti yang ada hari ini. Einstein mahukan Israel yang demokratik serta bercirikan berbilang kaum dan agama, dengan bererti memberi tempat kepada hak orang Arab di kampung halaman mereka sendiri.

Pembangunan senjata nuklear pastinya datang dari AS. Sementara bapa bom atom yang asalnya membangunkan senjata itu di AS ialah Robert Oppenheimer.

Walaupun Oppenheimer lahir di New York, seperti Einstein, beliau adalah seorang keturunan Yahudi yang turun-temurun menjadi warga Jerman. Dari segi cara hidup keluarganya, beliau menghalalkan Yahudi sekular. Maknanya mengambil Yahudi hanya sebagai budaya serta identiti tetapi bukan kepercayaannya seperti banyak orang Yahudi di AS hari ini.

Walaupun AS membangunkan bom atom ekoran kebimbangan bahawa Jerman Nazi akan menemuinya, sejarah senjata nuklear boleh dikatakan bermula di Jerman.

Sebelum Perang Dunia Kedua, akibat tekanan, banyak saintis Yahudi berhijrah dari Jerman ke AS. Dengan kekosongan yang berlaku di Jerman, seorang saintis Werner Karl Heisenberg diberi tanggungjawab memulihkan sains Jerman.

Beliau menemui kaedah fusi nuklear yang menjadi asas kepada pembangunan bom nuklear kelak. Walaupun seorang nasionalis Jerman, tetapi beliau menentang rejim Nazi.

Heisenberg dikatakan menjadi pelopor kepada program bom atom di Jerman dan hampir membangunkannya. Bagaimanapun beliau dikatakan bertanggungjawab menggagalkan program Nazi itu dan membocorkan rahsia program itu kepada AS.

Ini menyebabkan AS melancarkan Projek Manhattan yang melahirkan ujian bom atom pertama di Los Alamos di New Mexico. Seorang lagi ahli fizik AS terkenal dan turut memainkan peranan dalam projek ini ialah Richard Feynman, juga seorang Yahudi. Umumnya, ahli-ahli fizik abad ke-20 didominasi oleh keturunan Yahudi.

Kebimbangan

Bagaimanapun, kebimbangan AS terhadap bom atom Jerman tidak berasas. Jerman tumbang sebelum dapat memiliki bom itu.

Akhirnya bom atom itu digugurkan ke atas Jepun. Suatu tindakan yang ditentang oleh ramai saintis AS.

Ada pandangan bahawa antara sebab AS menggunakan bom atom ke atas Jepun adalah kerana bimbang terhadap kemaraan Soviet ke negara itu.

Jepun boleh dikalahkan tanpa penggunaan bom atom. Tetapi sebarang kelambatan akan membawa tentera Soviet mara dan masuk ke Jepun seperti yang berlaku di Jerman.

Jika tidak menggunakan bom atom, mungkin bukan saja keseluruhan Korea iaitu termasuk Korea Selatan, malah Jepun akan terbahagi dua. Jepun Utara menjadi komunis dan Jepun Selatan pula menjadi demokrasi seperti Jerman Barat.

Tetapi ternyata perkembangan bom atom tidak terhenti di Hiroshima dan Nagasaki. Sepatutnya setelah menang, AS menghapuskan saja bom atom dan menghalang mana-mana negara membangunkannya.

Program nuklear Soviet banyak berkisar usaha Stalin meniru dan mencuri maklumat dari AS selepas pengguguran bom di Jepun itu. Bagaimanapun, apa yang membolehkan ujian pada tahun 1949 itu adalah sisa projek bom atom Jerman yang tidak berjaya.

Maka akhirnya dapat dilihat kedua-dua AS dan Soviet mempunyai susur galur senjata nuklearnya dari Jerman dan Yahudi.

Maka dari AS, senjata nuklear berkembang ke Britain (1952) dan Perancis (1960). Dari Soviet, ia pergi ke China pada tahun 1964. Dari Soviet dan China, ia sampai ke Korea Utara.

Tetapi apabila India dan Pakistan menyertai kelab negara-negara bersenjata nuklear, ternyata pengetahuan dan kemahiran membangun senjata nuklear sudah bersifat terbuka.

Ini yang menjadi kebimbangan kepada AS dan dunia amnya. Mimpi ngeri ialah apabila ia jatuh ke tangan pengganas. Al-Qaeda yang berpusat di sempadan Afghanistan dan Pakistan berada di sisi senjata nuklear Islamabad. Bagaimanapun, penglibatan Korea Utara dan Iran dalam pembangunan senjata nuklear serta dikaitkan dengan Al-Qaeda boleh mengancam AS dan dunia.

Terdapat dua peluang bagi penghapusan keseluruhan senjata nuklear. Pertama semasa tamat Perang Dunia Kedua. Kedua, selepas Perang Dingin. Bagaimanapun peluang itu sudah terlepas.

Kalaulah AS dan Israel menghapuskan senjata nuklearnya, maka tidak ada sebab bagi Korea Utara dan Iran membangunkannya.

Meritokrasi ke universiti rosakkan harapan Melayu

Berita Harian, Isnin 16 Oktober 2006

Institusi pengajian tinggi tidak boleh sama taraf


PENURUNAN kedudukan Universiti Malaya (UM) ke tangga-192 dalam World University Rankings oleh Times Higher Education Supplement (THES) menimbulkan pelbagai pertanyaan mengenai kualiti UM dan universiti tempatan lain. Pelbagai pihak melahirkan kebimbangan dan menyarankan pelbagai cadangan supaya kedudukan itu diperbaiki. Apabila isu ini dilontarkan kepada bekas Naib Canselor UM, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid atau Pak Ungku, beliau melihat isu yang lebih besar dalam dunia pendidikan, terutama membabitkan orang Melayu. Dalam usia 84 tahun dan lebih 50 tahun pengalaman di universiti, ikuti pandangan Pak Ungku dalam soal jawab bersama wartawan Berita Minggu, ZIAUDDIN SHARUDDIN.


? Apa pandangan Pak Ungku mengenai kedudukan UM yang terus merosot dalam penyenaraian 200 universiti terbaik dunia oleh THES.

Ada dua perkara dalam isu ini. Pertama, persaingan markah yang disusun THES dan kedua, kedudukan UM dan universiti lain, sama ada naik atau turun dalam penyenaraian ini. Pada pandangan saya, isu lebih penting ialah mengenai kemajuan pelajar apabila dibandingkan di kalangan 17 atau 18 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di Malaysia atau peringkat serantau dan antarabangsa.

Pada pandangan saya, perkara terpenting ialah nisbah, tetapi orang selalu tidak mementingkan nisbah. Sebelum Perang Dunia II (PDII), ketika belajar bidang ekonomi di Raffles College di Singapura pada 1940-42, iaitu taraf paling tinggi boleh diperolehi di Malaysia, saya seorang diri boleh berjumpa profesor sejak tahun pertama setiap minggu.

Selepas PDII, iaitu antara 1946 sehingga 1948, dua hingga tiga pelajar berjumpa seorang profesor. Apabila saya menjadi pensyarah, hanya antara 3 atau 4 pelajar dalam tutorial. Nisbah pensyarah dan guru sangat baik. Apabila menjadi Naib Canselor UM pada 1968, nisbah menurun kepada 1:20-30. Sekarang 1: 50 dan kadang-kadang hingga 100-200. Kalau pergi ke universiti, ramai pelajar tidak tahu apabila ditanya nama profesor atau pensyarah. Pelajar tidak berpeluang berinteraksi bukan saja dengan profesor, malah pensyarah biasa.

Oleh itu, sudah tentu taraf pelajaran yang diberi dan diterima berbeza. Begitu juga nisbah antara profesor dan pensyarah. Isu ini lebih penting berbanding mengira UM jatuh enam atau 28 mata. Kaedah mengira mata adalah fokus daripada budaya Barat dan bukan budaya kita. Jangan lupa budaya universiti Barat seperti Oxford University dan Cambridge University adalah antara 400 sehingga 500 tahun. Usia Heidelberg University di Jerman adalah antara 600 sehingga 700 tahun. Saya lihat jubah yang disimpan untuk upacara universiti berusia ratusan tahun.

Saya bukukan sejarah universiti, sejarah Harvard University adalah antara 100-120 tahun. Sudah tentu, persoalan kematangan produk yang ditawarkan dan kematangan pelajar yang menerima berbeza. Kita mesti lihat semua ini. Bukan persoalan satu atau dua mata. Ini sama seperti persaingan dalam Akademi Fantasia. Siapa yang dapat banyak undi SMS menerima markah terbanyak. Pada saya, ini bukan perkara yang hendak dikira. Ini persoalan ukuran orang lain untuk budaya lain.

? Tanpa THES, kita masih perlu menilai kualiti universiti tempatan. Bagaimana keadaan universiti tempatan sekarang.

Kalau kita hendak membandingkan keadaan sekarang, berbanding 50 atau 80 tahun lalu, serta persoalan seperti apakah trend, bagaimanakah boleh memperbaiki, apakah masalah yang wujud, kita boleh tengok apakah kelemahan yang terserap dalam sistem universiti sekarang yang berkembang seperti cendawan di tengah padang.

Dulu mungkin bilangan antara 3-4 atau maksimum 10 universiti masih boleh tahan. Kalau hingga 17-18 universiti, macam mana taraf universiti itu? Kemudian kita tengok masyarakat Melayu, sudah ada fenomena graduan menganggur. Mengapa graduan menganggur?

Adakah kerana kurang kemahiran? Kenapa kerajaan mesti membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menyelamatkan graduan menganggur. Kenapa jadi begini? Memang benar ada graduan Cina menganggur, tetapi kerana memilih tidak mahu bekerja atau memilih tidak mahu bekerja di Kuala Lumpur, tetapi di Johor Bahru.

Mereka ada pilihan sendiri, tetapi secara umum fenomena menganggur di kalangan graduan Cina tidak berlaku. Kenapa fenomena ini timbul dalam tempoh kira-kira 10 tahun lalu. Dulu tidak ada. Ketika zaman saya, majikan berebut-rebut mencari graduan.

? Keadaan sudah berubah kerana seperti Pak Ungku kata, kini ada 17-18 universiti menyebabkan keadaan sekarang berlaku.

Kenapa terjadi keadaan produk tidak laku. Punca ini tidak boleh diukur dengan satu atau dua mata seperti Akademi Fantasia. Keadaan ini mesti difahami sebagai satu masalah holistik. Adakah pelajar universiti sekarang mengambil peluang menyertai kegiatan bukan akademik seperti sukan dan kebudayaan. Kalau nasib baik, kebanyakan pelajar menjadi penonton.

Universiti itu adalah universal, iaitu everything, iaitu pelajar berminat terhadap kebudayaan, muzik atau teater, suka hati merekalah. Pelajar Harvard atau Cambridge University mempunyai peluang untuk memilih apa saja. Sekarang apa pelajar universiti kita buat? Dalam kuliah, barang kali ada 200 pelajar dan kadang-kadang hingga 300 pelajar.

Saya masih memberi kuliah hingga sekarang. Ketika kuliah, hingga muka pun saya hendak tengok dan ingat. Bagaimanapun, saya tidak boleh lihat pelajar di belakang kerana sudah satu macam apabila jauh. Ketika menjadi Naib Canselor, saya juga mengajar Teori Pembangunan Minda di Fakulti Sains dan ketika itu, 200 pelajar sudah cukup ramai.

Ada pelajar berjumpa saya di tempat letak kereta kerana hendak bertanya sesuatu perkara. Sekarang Naib Canselor atau kebanyakan pensyarah apabila menjadi dekan tidak memberi kuliah. Berapa ramai yang boleh diganggu pelajar untuk bertanya. Ini menunjukkan nisbah sangat penting.

? Permohonan memasuki memasuki universiti kini jauh berlipat kali ganda. Sudah tentu mereka yang layak berhak mendapat peluang belajar di universiti.

Mengikut Teori Piramid, kita perlu mengikut cara Jepun atau Amerika Syarikat. Di bawah ada banyak universiti dan sesiapa yang hendak memasuki universiti itu boleh berbuat demikian. Pelajar terbaik bersaing memohon universiti yang mengenakan syarat kemasukan lebih ketat. Di puncak piramid seperti 10 universiti terbaik di Amerika Syarikat, England atau Jerman cukup susah pelajar hendak memasuki universiti berkenaan.

Siapa hendak pergi ke universiti di bawah, peluang dibuka. Bagaimanapun, mutu yang dia terima sudah tentu tidak sama. Graduan universiti ini masih boleh jadi jurutera, tetapi kualiti tidak sama seperti universiti di atas. Kalau kita tengok di Malaysia, orang yang pergi ke Oxford dan Cambridge University bukan main lagi. Orang anggap macam dewa.

Saya berasa dalam sistem universiti sekarang, sudah sampai masa kita menerima sistem hierarki dan piramid. Hendak masuk universiti di bawah tiada masalah dan di Jepun, universiti begini dipanggil universiti nasi bungkus. Universiti di atas memerlukan persaingan dan kerja kuat. Jadi mutu universiti di atas cukup baik dan produk dari sini menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.

? Keadaan ini masih tidak berlaku di Malaysia.

Tidak berlaku! Semua universiti sama taraf. Ini tidak betul dan sangat tidak adil. Siapa yang dapat bawah dan siapa dapat atas. Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas, ini yang berlaku.

? Bukankah pada suatu masa Universiti Malaya menjadi pilihan utama dan hanya pelajar terbaik diterima.

Benar, pada suatu masa! Bagaimanapun yang mengacau perkara ini, sekurang-kurang ada dua pengaruh besar. Pertama, orang yang dipengaruhi birokrasi. Saya menubuhkan Pusat Asasi Sains yang hingga sekarang mengeluarkan kira-kira 20,000 orang. Dari sini, mereka memasuki Fakulti Perubatan, Kejuruteraan dan Sains.

Ketika ditubuhkan, kita sengaja mencari budak kampung yang tercicir dan tiada peluang memasuki universiti. Mereka menerima pelajaran istimewa, tetapi pada masa sama kalau tidak lulus untuk semester berikut, mereka balik kampung. Mereka bersaing dan dengan nisbah 1:20, pasti ada seseorang untuk membantu mereka.

Mereka sentiasa dipujuk kerana budak Melayu ada macam-macam kerenah. Semangat mudah jatuh. Kita menjaga mereka dan hampir 98 peratus pelajar yang memasuki Pusat Asasi Sains hari ini adalah profesor dan pakar perubatan.

Ketika mula menjadi Naib Canselor, saya perhatikan daripada 128 pelajar yang memasuki Fakulti Perubatan, nasib baik jika ada empat atau lima Melayu. Selepas tiga tahun, tinggal satu atau dua orang kerana ada yang terkandas. Kita buat keputusan dan saya sentiasa terhutang budi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat keputusan hanya mengambil Bumiputera untuk Pusat Asasi Sains.

Sejak lima atau enam tahun lalu, ada pihak sabotaj Pusat Asasi Sains. Sekarang daripada 60 calon, mungkin tinggal 20 hingga 30 orang apabila diambil oleh pihak lain kerana birokrat dan ahli politik.

Pelajar Melayu mesti ada pembimbing. Kalau biar saja budak Melayu, dia tidak dapat masuk universiti dan kalau masuk, dia hampa dan pelbagai masalah lain. Dia sentiasa perlu dikipas kerana cepat sejuk. Orang yang lemah mesti diberi tambahan.

? Ini bermakna meritokrasi untuk kemasukan pelajar ke universiti belum boleh dilaksanakan di negara ini.

Tidak boleh! Meritokrasi merosakkan harapan orang Melayu ketika ini. Barangkali dalam tempoh 50 tahun akan datang, itu cerita lain. Kalau orang kata ini perkauman, saya tengok di Amerika Syarikat mereka menggunakan pendekatan ini. Orang kulit hitam diberi bantuan khas kerana lemah seperti daripada susunan masyarakat.

Begitu juga di negara lain apabila memerlukan sistem yang menolong orang lemah hingga persaingan itu lebih kurang setanding. Masalah sekarang ialah tidak setanding. Kita mesti menerima bahawa orang Melayu dalam bidang pelajaran, ekonomi dan sosial ada masalah.

Orang memang syok bercakap mengenai meritokrasi. Kemunculan istilah ini masih baru, lebih kurang 15 tahun lalu. Malangnya, kebanyakan yang melakukan sabotaj bukan orang Cina, tetapi pemimpin Melayu sendiri. Semua dasar ini dibuat oleh orang Melayu.

Kenapa kita gila menyokong dan tidak berfikir panjang. Kita fikir anak kita saja yang sekolah menengah pun dihantar ke England. Apabila balik ke tanah air, dia anak Tan Sri, dia boleh survive, tetapi anak kampung?

Ini yang menjadi dasar Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan memberi peluang dan menolong orang lemah. Bagaimana kita hendak memberi peluang supaya mereka dapat memasuki yang di atas (universiti terbaik) dan bukan di bawah. Ini yang memerlukan bantuan.

? Kementerian Pelajaran mempunyai Kolej Matrikulasi yang matlamat penubuhan kelihatan menyamai idea Pusat Asasi Sains untuk membekalkan pelajar ke universiti. Tidakkah ini memadai.

Itu adalah pengeluaran secara besar-besaran. Kalau setiap universiti ada Pusat Asasi Sains sendiri, kementerian akan kata tidak cukup duit dan angin meritokrasi akan sentiasa berkibar di situ. Itu susah. Kita perlu fokus kepada satu atau dua universiti yang boleh mengeluarkan graduan terbaik.

Kita mesti terima bahawa dalam sistem universiti apabila perbandingan dibuat antara kemajuan antara orang Melayu dan bukan Melayu, istimewa antara orang Melayu dan Cina, pemerhatian dan pengalaman di universiti lebih 50 tahun, mendapati orang Melayu sebagai ‘late development’.

Pada peringkat awal menjadi Naib Canselor, saya mendapati orang Melayu yang belajar di Indonesia apabila pulang ke Malaysia, mempunyai banyak kelemahan. Di UM sendiri, pembangunan minda budak Melayu perlahan berbanding kaum lain.

Bagaimanapun, orang Melayu sentiasa boleh memperbaiki kekurangan dan kelemahan. Kalau kita bagi pelajaran empat tahun, ini jauh lebih baik berbanding tiga tahun. Jika hingga lima tahun, kebolehannya bertambah baik. Orang Cina apabila sudah bagus, dia bagus begitu saja. Graf tidak naik. Minda orang Melayu mengambil masa. Saya dan rakan di UM yang membincangkan perkara ini menerima bahawa ini bukan kerana orang Melayu malas.

? Jika bukan kerana malas, apakah pula faktor menyebabkan pembangunan minda orang Melayu perlahan.

Pertama adalah faktor pemakanan yang berkait rapat dengan kemiskinan. Dalam Mapen (Majlis Perundingan Ekonomi Negara) II yang saya sendiri turut menulis, antara kelemahan Bumiputera ialah aspek pemakanan. Kalau pergi Kelantan, susun budak lelaki dan yang kalau perempuan dikatakan comel, seperti orang Jepun sebelum zaman PDII, kecil dan rendah.

Adakah Tuhan menentukan orang Kelantan tidak boleh tinggi hingga enam kaki. Apalah punca keadaan ini? Kalau kajian dibuat, tetapi kerajaan tidak suka bercakap mengenai perkara ini, ambil 1,000 anak lelaki di Johor dan Selangor, berbanding Kedah, Kelantan dan Terengganu, sampel rawak menunjukkan secara umum budak dari Pantai Barat lebih tinggi.

Di Jepun selepas PDII, Amerika Syarikat mengarahkan Jepun menukar kaedah pemakanan dengan memberi makanan percuma di sekolah. Di negara kita juga ada skim makanan percuma di sekolah, tetapi tidak dihubungkan dengan pertumbuhan fizikal.

Mereka hanya dapat makanan percuma ketika di sekolah rendah, sedangkan rahsia pertumbuhan fizikal ialah pada tujuh tahun pertama akan menentukan sama ada gen seseorang budak hendak menjadi tinggi atau tergencat.

Kedua, kemudahan. Budak Melayu pada zaman dulu sama ada ibu bapa membuatkan permainan atau mereka membuat permainan sendiri, mempunyai pelbagai permainan yang sesuai dengan masyarakat Melayu. Sekarang kalau hendak alat permainan mesti beli di kedai dan alat permainan ini mahal. Kalau ada sembilan anak, jadi anak-anak duduk diam saja. Wanita pula tiada masa hendak bermain permainan dan sentiasa bekerja di rumah. Emak menyuruh anak perempuan buat itu dan ini. Jadi sejak kecil wujud pengaruh minda terbuka hendak belajar dan lebih bersaing kerana didesak. Orang ingat anak lelaki saja akan maju. Itu budaya Arab.

Hari ini, hampir semua universiti, lebih 50 peratus (seharusnya 30-40 peratus wanita) dan ada yang hingga 60 peratus pelajar Melayu yang mencapai keputusan baik dalam peperiksaan adalah wanita. Wanita Melayu sangat berjaya dan di mana saja, sudah ramai wanita menjadi Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan KSU. Inilah trend dalam tempoh 20 tahun lalu. Ini mengambil masa lama dan kita mesti bagi kejutan kepada lelaki.

Bagaimanapun, ini satu masalah di universiti kerana kalau dibiarkan, pelajar wanita boleh meningkat hingga 70-80 peratus. Ada masalah sosial yang akan timbul. Timbul masalah bagi lelaki apabila jati diri menjadi lemah. Ini masalah yang sangat istimewa untuk orang Melayu. Kaum Cina, ini bukan masalah kerana budaya Cina menganggap lelaki akan naik. Wanita Cina akan naik tetapi tidak terlalu pantas. Bagi kebanyakan masyarakat India berpendidikan, wanita mempunyai peluang lebih baik berbanding wanita lain dan bukan terhadap lelaki.

? Bagaimana kalau kita fokus kepada keadaan yang berlaku di UM.

Keadaan UM adalah ekoran sejarah 5 sehingga 10 tahun lalu. Kenapa UM terjadi dalam keadaan begitu? Ini bukan seperti Akademi Fantasia. Ini proses yang mengambil masa. Ini ada hubung kait, kalau buat begini, benda ini akan menjadi semakin baik, kalau buat macam ini, benda ini akan terbiar. Kemudian persaingan dalam meritokrasi, orang Melayu menjadi semakin ke bawah dan ini menarik kepada umumnya UM turun ke bawah.

Kita boleh tengok sejarah beberapa Naib Canselor sebelum ini dan pegawai yang menjadi pihak berkuasa di kementerian dan universiti. Bagaimana sikap mereka berbanding antara satu sama lain. Saya tidak mahu kritik UM, tidak baik. Nanti orang sakit hati dan perdebatan berubah kepada perkara lain.

? Kalau universiti di negara ini dilihat secara keseluruhan.

Nombor satu ialah nisbah. Kita sedia mengambil ramai pelajar, tetapi tidak fikir bagaimana kalau sudah ramai masuk. Adakah mereka diberi bekalan mencukupi. Adakah pelajar mempunyai semangat membaca buku dan bukan menghafal nota ketika musim peperiksaan.

Naik satu atau dua tangga tidak relevan ketika ini kerana kita bersaing dengan Harvard University. Universiti tumbuh terlalu cepat kerana politik. Universiti dibuka tanpa mempedulikan aspek nisbah, cukup buku teks atau tidak serta pelajar membaca buku atau tidak.

Orang tidak fikir habis-habis dan yang menjadi mangsa ialah pelajar. Kalau beri layanan kurang baik, produk akhir juga kurang baik.

Niat PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) cukup baik, tetapi apa yang terjadi? Ramai pelajar mendapat pinjaman tidak membayar balik. Kemudian saya dengar sebab saya tidak buat kajian, pelajar beli telefon bimbit dan macam-macam, tetapi tidak hidup betul. Bukankah lebih baik diberi kupon untuk ditukar dengan makanan dan buku, tetapi itu banyak kerenah. Bagaimanapun, kalau hendak menolong orang Melayu, kena tolong dengan cara yang berkesan dalam dunia orang Melayu.

? Adakah THES langsung tidak relevan atau ada pilihan lain untuk menentukan kualiti universiti kita.

Kalau beli pakaian di Amerika Syarikat, saiz medium lebih besar berbanding small kerana itu ukuran masyarakat negara itu. THES juga adalah ukuran masyarakat Barat. Media menghebohkan ini sebagai perkara besar. Naik dua atau tiga mata, lebih baik masuk Akademi Fantasia. Marshall McLUhan, seorang profesor komunikasi massa Kanada dalam bukunya The Medium is the Massage, berkata media ini mempengaruhi manusia.

Jangan pergi ke tempat yang orang lain buat ukuran. Kita kena buat ukuran sendiri yang sesuai dengan Malaysia. Kita mesti buat skala sendiri, mengapa kita mesti ikut. Kita boleh buat. Kalau ada 20-25 IPTA dan IPTS, kita buat skala sendiri.

Kita tengok skala itu, apakah yang hendak diukur. Kenapa kita malas hendak buat dan ambil saja dari Barat yang tidak sesuai dengan kita.

? Ada yang mempertikaikan bahawa kita menghantar pelajar terbaik ke luar negara dan meninggalkan yang sederhana untuk universiti tempatan.

Itu satu lagi masalah, pelajar tajaan Petronas ke luar negara. Ini seperti membuat tali air ke luar negara. Ini pengaruh nisbah yang buruk. Kalau kita buat yang terbaik di universiti terbaik negara ini, semua orang akan cuba hendak masuk. Saya ingat universiti terbaik ini paling banyak ialah tiga atau empat.

Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, memang berani tetapi mungkin bukan tahun ini, tetapi tahun depan. Mungkin bukan zaman saya, tetapi zaman lain. Bagaimanapun mesti lakukan sekarang kerana sekarang pun terlewat. Penambahan kemasukan pelajar berlaku setiap tahun dan apabila tidak cukup, bilangan universiti terus ditambah. Banyak sangat universiti, tetapi tiada kualiti. Kemudian kita ukur dengan THES, itu tidak bermakna.

Kita patut pilih universiti terbaik. Itu keputusan politik dan bukan akademik. Kita tentukan mahu tiga atau empat universiti yang digalakkan mewujudkan produk berkualiti tinggi.