Saturday, September 12, 2009

Meningkatkan taraf pembekal gas bumiputera


SEBAGAI sebuah syarikat yang dikuasai oleh bumiputera, Bintulu Industrial Gas yang lebih dikenali sebagai B.I.G Industries Berhad tidak mahu ketinggalan untuk mengembangkan lagi potensi perniagaannya di negara ini.

Dalam suasana ekonomi negara pesat berkembang terutamanya dalam industri infrastruktur dan minyak, syarikat itu terus agresif menawarkan perkhidmatan penjualan pelbagai jenis gas yang amat diperlukan dalam kerja-kerja pembinaan dan perkhidmatan hospital di Malaysia.

Bukan sahaja operasi perniagaannya terdapat di Sarawak dan Sabah, tetapi ia merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang turut melakar nama di peringkat antarabangsa apabila membekalkan gas kepada syarikat minyak Shell di Brunei.

Bermula pada tahun 1980 di Miri, Sarawak, syarikat itu telah berkembang setapak demi setapak sehingga berjaya disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 22 Disember 1995.

Sehingga kini, ia menguasai pasaran gas di Sarawak sebanyak 60 peratus.

Aktiviti utama syarikat tersebut ialah membekalkan gas, penyelenggaraan dan perkhidmatan, produk kejuruteraan, peralatan perubatan dan sistem paip gas.

Syarikat itu juga terlibat dalam industri pembinaan, pengangkutan dan pembangunan harta tanah.

Pengerusi B.I.G Industries Berhad, Datuk Mazelan Bugo berkata, syarikat itu kini bercita-cita untuk disenaraikan di papan pertama BSKL dalam tempoh tiga tahun lagi.

``Usaha-usaha sedang dilakukan bagi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai,'' katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, pihak pengurusan syarikat akan memajukan syarikat peringkat demi peringkat bagi menjadikan ia sebagai sebuah syarikat bumiputera yang terbaik di negara ini.

Sejajar dengan matlamat syarikat itu, perolehan B.I.G Industries kini semakin meningkat dari semasa ke semasa dengan mencatatkan perolehan pada tahun 2002 sebanyak RM46.1 juta dan keuntungan pula mencecah RM2.4 juta.

Pada suku ketiga tahun ini, perolehan syarikat itu ialah RM38 juta pada akhir September lalu dan keuntungan pula ialah RM2.6 juta.

Menyentuh mengenai persaingan dengan syarikat-syarikat asing dan antarabangsa dalam perkhidmatan membekalkan gas, Mazelan mengakui hakikat tersebut dan tidak menafikan B.I.G Industries Berhad perlu berani berhadapan dengan mereka.

Menurutnya, setiap peluang yang diperoleh oleh syarikat itu dalam industri gas perlu dibalas dengan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggannya.

Satu kejayaan yang menjadi kebanggaan syarikat itu kini ialah apabila ia melakar sejarah membekal gas karbon dioksida kepada jenama minuman ringan bertaraf antarabangsa iaitu Coca-Cola di Kuching dan Kota Kinabalu sejak April lalu.

``Kelulusan untuk membekalkan gas itu mengambil masa selama setahun. Banyak ujian dilakukan bagi memastikan gas itu benar-benar mencapai kelas dunia,'' kata beliau.

Selain Coca-Cola, syarikat itu turut membekalkan gas kepada syarikat Nestle Sarawak dan Kingston Creamery & Beverage Sdn. Bhd.

Di Brunei, ia turut membekalkan gas kepada Brunei Shell Offshore, gas cecair nitrogen kepada Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd., Brunei BJ Oil Nowsco dan Brunei LNG Sdn. Bhd.

Bagi memastikan syarikat itu tidak mengalami masalah kekurangan kepakaran tempatan, Pengerusi B.I.G Industries Berhad menegaskan, syarikat itu sanggup membiayai latihan untuk para kakitangannya.

``Memang sukar untuk mendapatkan pekerja mahir, tetapi kita memberi latihan kepada mereka.

``Kita juga memberi biasiswa kepada jurutera-jurutera bumiputera atau mereka yang terbaik di syarikat untuk melanjutkan pelajaran,'' katanya.

Mazelan berkata, jika syarikat tersebut terus berkembang maju, ia juga akan turut menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Malah, beliau merasa yakin dengan kemampuan pekerja tempatan untuk membawa cabaran syarikat itu melangkah ke era kecemerlangan pada masa depan sehingga tidak ada seorang pun tenaga mahir luar negara yang diambil berkhidmat dengan syarikat tersebut.

``Kita tidak mempunyai pekerja asing. Sebanyak 100 peratus pekerja kami ialah anak tempatan,'' katanya yang menjadi Pengerusi B.I.G Industries Berhad pada April 2001.

Syarikat tersebut juga mempunyai sebuah anak syarikat dikenali sebagai BIG Oil & Gas Sdn. Bhd. (Sarawak) di mana B.I.G Industries Berhad memegang ekuiti sebanyak 30 peratus dan seorang usahawan, Khairil Annas Jusoh sebanyak 70 peratus.

Setakat ini, terdapat di antara 250 hingga 300 pekerja syarikat tersebut.

Syarikat itu kini mempunyai lima cawangan di Sarawak dalam industri gas iaitu di Miri, Kuching, Sibu, Bintulu dan satu cawangan di Labuan.

Dalam bidang perubatan pula, syarikat itu membekalkan gas jenis Nitrus Oksida Nitrus kepada sebahagian pelanggannya seperti di hospital di Miri, Bintulu, Brunei dan semua hospital kerajaan di Sabah.

Berikutan kemampuan syarikat itu semakin meningkat di negara ini, ia juga berhasrat untuk mengembangkan operasi perniagaannya di Semenanjung Malaysia.

Modal yang dibenarkan ke atas syarikat itu ialah RM100 juta manakala modal berbayar pula ialah RM19.2 juta.

Antara pelanggan terbesar syarikat itu di Sarawak ialah Kumpulan Shin Yang dan Sarawak Slipways Sdn. Bhd. dalam kerja-kerja pembinaan kapal, Sarwaja Timur untuk kerja-kerja pembinaan infrastruktur, Nam Cheong Dockyard Sdn. Bhd., dan Ironwood Shipyard.

Pihak pengurusan syarikat itu sedang meneliti program pengembangan itu memandangkan ia satu-satunya syarikat bumiputera di Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembekalan gas dan industri minyak.

Mazelan juga menyatakan, B.I.G Industries Berhad telah memohon untuk menjadi pembekal kepada Syarikat Petrolium Nasional (Petronas) melalui program pembangunan vendor Petronas (VDP).

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home