Monday, April 30, 2007

Aset siswazah pada personaliti

1 Mei 2007, Utusan Malaysia


Oleh DR. MOHAMED YUSOFF ISMAIL

BETULKAH masa depan kerjaya seseorang itu gelap jika kita hanya dapat mengikuti kursus yang dikatakan kurang laku di pasaran?. Persepsi seperti ini berlaku terutama sekali di kalangan pelajar yang mengikuti bidang sains sosial dan kemanusiaan, termasuk ekonomi dan pengajian agama Islam.

Di kalangan pelajar aliran sains juga terdapat persepsi sedemikian kerana sebahagian besar daripada mereka mungkin ingin menjadi doktor perubatan, jurutera atau ahli sains semata-mata, tidak kurang daripada itu.

Pada hakikatnya tidak semua orang berjaya mengikuti kursus yang mereka pohon kerana tempat yang ditawarkan itu agak terhad di mana-mana universiti sekalipun, baik dalam bidang sains atau bukan sains. Maka yang tidak berjaya itu akan diagihkan kepada kursus yang tergolong ke dalam bidang yang hampir sama.

Haruskah kita berdukacita kerana tidak mendapat tempat yang diidam-idamkan itu? Hancurkah masa depan anak-anak kita kerana gagal mendapat tempat untuk mengikuti kursus pilihan?

Perkara ini membawa kita kepada persoalan utama tentang tujuan sebenar pendidikan tinggi pada peringkat ijazah pertama. Terdapat dua pemikiran utama terhadap perkara ini.

Yang pertama mengatakan bahawa pendidikan universiti adalah untuk menyediakan tenaga mahir bagi memenuhi pasaran kerja, iaitu mengeluarkan graduan yang terus boleh bekerja dalam industri dan sektor perkhidmatan sebaik sahaja mereka melapor diri pada hari pertama.

Sebaliknya pemikiran kedua pula mengatakan bahawa pendidikan universiti peringkat ijazah pertama adalah untuk melengkapkan proses sosialisasi seseorang supaya menjadi bakal tenaga kerja yang berfikiran matang bukan sahaja dari segi pendedahan akademik tetapi mempunyai kemahiran sosial serta boleh pula dilatih semula (retuned atau re-tooled) untuk memenuhi kehendak industri atau sektor perkhidmatan yang diceburinya.

Dewasa ini ramai orang terbawa-bawa dengan pemikiran pertama, seolah-olah universiti berfungsi sebagai sebuah politeknik, mengeluarkan tenaga kerja mahir yang terus dapat mengendalikan segala jenis peralatan dan jentera serta selok- belok pengurusan sebaik sahaja mereka mula-mula bertugas.

Bahkan siswazah seperti inilah yang menjadi idaman sesetengah pihak industri, kerana mereka tidak perlu berbelanja besar untuk melatih semula pekerja baru bagi memenuhi kehendak mereka.

Oleh kerana terpengaruh dengan pemikiran seperti ini maka tidak hairanlah jika ramai berdukacita jika tidak mendapat kursus yang menjadi pilihan pertama masing-masing.

Pemikiran kedua pula melihat pendidikan ijazah pertama universiti sebagai satu bentuk pelengkap kepada satu proses pendidikan yang telah dilalui oleh seseorang semenjak berada di taman asuhan kanak-kanak atau semenjak memasuki darjah satu sehingga ke tingkatan enam atau ke tahap matrikulasi.

Proses pelengkap ini menjadikan seseorang yang telah melalui pendidikan universiti itu mempunyai beberapa sifat universal dari segi pemikiran yang terbuka, prihatin terhadap dunia sekelilingnya, beretika tinggi, yakin dan terasuh dengan kemahiran sosial atau kemahiran insaniah tanpa mengira apakah bidang jurusan akademik yang diikutinya.

Pemikiran kedua ini menganggap bahawa ijazah universiti yang pertama itu bukan satu pengkhususan mutlak, tetapi satu bentuk re-socialization untuk menjadikan seseorang siswazah itu terkamil dari segi ciri-ciri universal tadi.

Sesetengah universiti terkenal di dunia mengamalkan pendekatan liberal pada peringkat ijazah pertama kecuali untuk disiplin tertentu sahaja. Ini bermakna penjurusan atau pengkhususan pada peringkat ijazah pertama itu tidak ditekankan sangat tetapi pelajar digalakkan mengambil mata kuliah daripada pelbagai disiplin lain. Tetapi yang ditekankan ialah penghayatan yang mencukupi dalam disiplin asas sebagai latihan untuk berfikir, menganalisis dan mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah, selain pendedahan kepada disiplin lain.

Contohnya pelajar dalam bidang kejuruteraan atau perubatan digalakkan mengambil mata kuliah dari bidang sains sosial termasuk kesusasteraan, politik, ekonomi, psikologi, antropologi, sosiologi dan muzik supaya pemikiran dan pendedahan mereka menjadi lebih holistik atau menyeluruh.

Mengikut pemikiran ini lagi, penjurusan seseorang dalam sesuatu bidang akademik sebaik-baiknya dilakukan pada peringkat sarjana atau PhD, asalkan ijazah peringkat pertama itu menunjukkan bahawa calon itu mempunyai keupayaan akademik dan potensi serta minat untuk diasuh ke jurusan yang dipilih sebagai bidang pengkhususannya.

Penghujahannya ialah pada peringkat ijazah pertama itu, pelajar mestilah mempunyai kemahiran dari segi mengenal pasti sesuatu masalah, menganalisis masalah tersebut berlandaskan konsep dan teori yang dipelajari dalam disiplinnya serta membuat keputusan terbaik berasaskan kepada sumber yang ada di tangan pada masa itu.

Kemahiran

Berbekalkan kemahiran seperti inilah serta kemahiran insaniah yang dipelajarinya dalam proses pendidikan tinggi, seseorang siswazah itu boleh masuk ke mana-mana profesion, kecuali bidang yang betul-betul memerlukan kepakaran ikhtisas seperti perubatan, undang-undang, kejuruteraan dan pelbagai lagi.

Apakah yang dicari oleh seorang majikan dalam memilih pekerja daripada kalangan lepasan universiti? Daripada pengalaman lepas, pencapaian akademik yang cemerlang bukanlah satu-satunya kriteria yang wajib, tetapi majikan yang berhemat akan memilih calon yang mempunyai perwatakan atau sahsiah yang menunjukkan kematangan berfikir, daya analisis yang tinggi, mudah bergaul dengan orang, peramah, senang berkawan serta boleh bekerja dalam pasukan sebagai team player.

Kriteria seperti ini tidak tergambar pada sijil atau ijazah melainkan pada perwatakan calon itu sendiri semasa ditemu duga atau setelah menjalani ujian personaliti, kecerdasan berfikir dan ketepatan cara bertindak.

Justeru kadangkala kita lihat bahawa siswazah dalam sesuatu bidang itu tidak semestinya bekerja dalam bidang yang berkaitan langsung dengan kursus yang diikutinya di universiti. Ini ketara sekali dalam bidang sains sosial. Kadangkala siswazah dalam bidang sosiologi, antropologi dan sejarah, misalnya boleh bekerja dengan baik di bank atau institusi kewangan.

Melihat keadaan ini, kita tertanya-tanya apakah yang dapat dipasarkan oleh mereka sehingga berjaya mendapat pekerjaan yang baik-baik?

Sebenarnya yang menjadi aset yang tidak ternilai pada siswazah seperti ini ialah personalitinya, sikapnya dan juga perwatakannya dari segi kematangan berfikir, membuat analisis dan mencari penyelesaian serta berkebolehan menggunakan kemahiran insaniahnya dalam apa jua keadaan sekalipun.

Kemahiran seperti ini, sama ada dipanggil linear thinking, critical thinking, atau disebut dengan apa istilah sekalipun dalam kursus-kursus motivasi, adalah sesuatu yang dipelajari secara tidak langsung sewaktu mengikuti kursus akademik, biar apa pun bidang pengajiannya.

Cuma yang membezakannya ialah pelajar yang mencapai gred tinggi dalam pengajiannya ‘terlupa’ untuk menghayati kemahiran tersebut kerana percaya bahawa pencapaian tinggi gred peperiksaan akan membuka pintu pekerjaan dengan mudah, sementara pelajar yang mempunyai kemahiran insaniah atau social skills itu mempunyai perwatakan yang lebih meyakinkan majikan walaupun grednya tidak setinggi mana.

Perbezaan yang lebih ketara ialah apabila siswazah yang mempunyai kemahiran sosial dari segi pergaulan dan sahsiah ini menunjukkan sikap yang tidak memilih pekerjaan, dan yang pentingnya sanggup untuk melalui latihan semula yang mungkin tidak berkaitan dengan kursus yang diambilnya di universiti dahulu.

* DR. MOHAMED YUSOFF ISMAIL adalah Profesor Antropologi dan mantan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia.