Saturday, September 12, 2009

Khairil Annas Jusoh - Kejayaan yang dicapai bukan sekadar menadah tangan

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Utusan Malaysia, 3 Februari 2004

Peribahasa `tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu', kena benar dengan kisah anak muda kelahiran Pulau Mutiara, Khairil Annas Jusoh, 32, dalam usahanya meniti kejayaan sehingga bergelar usahawan muda, pakar motivasi serta kini menerajui rangkaian firma guamannya sendiri.

Segala yang dikecapi ini, tegas Khairil bukannya setakat menadah tangan ke langit lalu rezeki akan turun, jika tanpa disiplin dan keberanian. Bak kata pepatah, `kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.

Yang pasti, selain dua kriteria di atas, kejayaan memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani.

Malah, diperkasakan lagi dengan usaha berterusan, keyakinan, kepercayaan, kejujuran, keikhlasan, pengorbanan dan nilai-nilai positif yang lain.

Kesudian Khairil berkongsi kisah benar beliau, wajar dijadikan contoh serta pemangkin semangat terutamanya kepada generasi Melayu masa kini yang hidup dalam serba kemewahan dan kemudahan.

Khairil dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba sederhana, ibu bapa yang berpisah, namun beliau tidak sekalipun menjadikan `nasib malang' ini sebagai alasan tidak boleh berjaya.

Kenyataannya, biarpun sejarah kehidupannya sentiasa diulit kesempitan, keperitan dan kekurangan, Khairil mampu mencapai kecemerlangan berterusan dari sekolah rendah, universiti dan seterusnya alam kerjaya.

Malah, suatu waktu dahulu nama Khairil begitu sinonim dengan pentas pidato kerana beliau merupakan tokoh pemidato yang digeruni kawan dan lawan.

Kewibawaannya menyusun bicara, mendapat jolokan sebagai seorang yang mahir dalam pidato dan permainan bahasa di kalangan teman-teman sepengajian.

Hakikatnya, kehebatan anak bongsu dalam keluarga ini, terbukti dengan anugerah paling berprestij yang pernah dimenanginya, iaitu diumumkan sebagai Johan Pidato Piala DiRaja serta dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Piala Perdana Menteri sejak usia 16 tahun lagi.

Cantiknya lagi, ia diiringi dengan kepintaran dari segi akademik. Kecemerlangan Khairil terserlah semasa di bangku sekolah rendah lagi. Beliau memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Darjah Lima dan anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Akademik dan Ko-kurikulum di peringkat sekolah menengah.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula, Khairil bukan sahaja pemidato terbaik dan memenangi piala peringkat universiti dan kebangsaan, tetapi beliau juga merupakan pelajar terbaik UIAM dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Kepujian Kelas Pertama.

Kemudian Khairil menyambung pengajian pada tahun 1994 ke University of Cambridge, sebuah pusat pengajian tinggi yang tersohor di seluruh dunia dengan membawa pulang Sarjana Undang-undang Antarabangsa.

Selepas itu beliau bertugas sebagai pensyarah undang-undang di UIAM, Universiti Malaya dan beberapa institusi pengajian tinggi lain.

Pada tahun 1997, Khairil berpeluang mengikuti kursus dan latihan dari Institut Pemikiran yang dipelopori oleh tokoh pelopor dunia, Edward De Bono. Sejak itu beliau ditauliahkan sebagai Perunding pemikiran Dr. De Bono yang berpusat di Iowa Amerika Syarikat.

Kesungguhan Khairil tidak terhenti setakat itu sahaja, tahun lepas beliau menerima Sarjana Muda dalam Perbankan & Kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

``Saya tidak percaya kalau orang kata susah hendak berjaya kerana hidup miskin, keluarga berpecah belah, ibu bapa bercerai. Ini semua bukan alasan untuk kalah dalam perjuangan.

``Kalau saya sendiri mampu buktikan, mengapa pula orang lain tidak boleh? Tetapi dengan syarat kena berbekalkan disiplin diri yang kuat.

``Di samping itu, saya terapkan keazaman atau keinginan sebagai orang yang hebat, bagus dan berjaya sejak awal lagi,'' tegas Khairil bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana berpeluang meniti kejayaan pada usia muda.

``Saya masih ingat kata-kata pujangga, dalam hidup ini, kalau kita tidak menyelesaikan kerja kita, tidak ada orang lain boleh menyelesaikannya, selain diri kita sendiri,'' kata Khairil yang mendefinisikan kejayaan adalah sesuatu yang berterusan serta mencipta sesuatu yang baik untuk diri.

Beliau berharap, kejayaan yang diusahakan ini bertujuan untuk membuktikan bahawa anak Melayu kena rajin dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Ia sejajar dengan prinsip dan pegangan beliau iaitu kalau diri sendiri tidak berusaha, tidak ada sesiapa yang akan membantu dan menjadikan segala masalah hidup, cabaran dan cemuhan orang ramai sebagai semangat dan kekuatan diri.

Khairil menyifatkan dirinya dianugerahkan untuk matang lebih awal, kerana ia menjadi `public figure' semenjak usia 16 tahun lagi.

``Saya akui, saya sanggup ketepikan zaman remaja bukan kerana suka-suka tetapi mungkin disebabkan latar belakang diri yang serba kekurangan dan susah.

``Jadi, masa itu matlamat hanya satu iaitu untuk mencapai kejayaan. Malah, saya tidak menyesal dengan pilihan yang diambil,'' kata Khairil yang menyimpan cita-cita menjadi ahli korporat yang berjaya dan seorang negarawan suatu hari kelak.

Berkongsi pengalaman manis semasa belajar di Cambridge, cerita Khairil sepanjang berada di universiti tersebut, beliau sedar betapa ramainya orang yang pandai di dunia ini.

Tetapi Khairil mahu membuktikan sesuatu yang lebih baik lagi, iaitu bukan sekadar pandai bahkan beliau mengambil resmi padi `makin berisi, makin tunduk'.

Ini diterjemahkan melalui kemunculan Khairil di televisyen dan radio, membincangkan soal-soal motivasi, di samping itu suka melibatkan anak-anak muda dalam apa juga usaha beliau.

Hakikatnya, ketika di pusat pengajian tinggi lagi, beliau sudah terlibat dengan kerja-kerja kebajikan, khidmat masyarakat, ceramah motivasi dan kerja amal membantu anak-anak yatim secara sukarela.

Pesan Khairil sebelum menutup bicara, agar anak Melayu mengambil iktibar daripada pesanan Rasulullah s.a.w., ``lakukan lima perkara, sebelum datang lima perkara; muda sebelum tua...''.

Labels:

Meningkatkan taraf pembekal gas bumiputera


SEBAGAI sebuah syarikat yang dikuasai oleh bumiputera, Bintulu Industrial Gas yang lebih dikenali sebagai B.I.G Industries Berhad tidak mahu ketinggalan untuk mengembangkan lagi potensi perniagaannya di negara ini.

Dalam suasana ekonomi negara pesat berkembang terutamanya dalam industri infrastruktur dan minyak, syarikat itu terus agresif menawarkan perkhidmatan penjualan pelbagai jenis gas yang amat diperlukan dalam kerja-kerja pembinaan dan perkhidmatan hospital di Malaysia.

Bukan sahaja operasi perniagaannya terdapat di Sarawak dan Sabah, tetapi ia merupakan satu-satunya syarikat bumiputera yang turut melakar nama di peringkat antarabangsa apabila membekalkan gas kepada syarikat minyak Shell di Brunei.

Bermula pada tahun 1980 di Miri, Sarawak, syarikat itu telah berkembang setapak demi setapak sehingga berjaya disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 22 Disember 1995.

Sehingga kini, ia menguasai pasaran gas di Sarawak sebanyak 60 peratus.

Aktiviti utama syarikat tersebut ialah membekalkan gas, penyelenggaraan dan perkhidmatan, produk kejuruteraan, peralatan perubatan dan sistem paip gas.

Syarikat itu juga terlibat dalam industri pembinaan, pengangkutan dan pembangunan harta tanah.

Pengerusi B.I.G Industries Berhad, Datuk Mazelan Bugo berkata, syarikat itu kini bercita-cita untuk disenaraikan di papan pertama BSKL dalam tempoh tiga tahun lagi.

``Usaha-usaha sedang dilakukan bagi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai,'' katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, pihak pengurusan syarikat akan memajukan syarikat peringkat demi peringkat bagi menjadikan ia sebagai sebuah syarikat bumiputera yang terbaik di negara ini.

Sejajar dengan matlamat syarikat itu, perolehan B.I.G Industries kini semakin meningkat dari semasa ke semasa dengan mencatatkan perolehan pada tahun 2002 sebanyak RM46.1 juta dan keuntungan pula mencecah RM2.4 juta.

Pada suku ketiga tahun ini, perolehan syarikat itu ialah RM38 juta pada akhir September lalu dan keuntungan pula ialah RM2.6 juta.

Menyentuh mengenai persaingan dengan syarikat-syarikat asing dan antarabangsa dalam perkhidmatan membekalkan gas, Mazelan mengakui hakikat tersebut dan tidak menafikan B.I.G Industries Berhad perlu berani berhadapan dengan mereka.

Menurutnya, setiap peluang yang diperoleh oleh syarikat itu dalam industri gas perlu dibalas dengan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggannya.

Satu kejayaan yang menjadi kebanggaan syarikat itu kini ialah apabila ia melakar sejarah membekal gas karbon dioksida kepada jenama minuman ringan bertaraf antarabangsa iaitu Coca-Cola di Kuching dan Kota Kinabalu sejak April lalu.

``Kelulusan untuk membekalkan gas itu mengambil masa selama setahun. Banyak ujian dilakukan bagi memastikan gas itu benar-benar mencapai kelas dunia,'' kata beliau.

Selain Coca-Cola, syarikat itu turut membekalkan gas kepada syarikat Nestle Sarawak dan Kingston Creamery & Beverage Sdn. Bhd.

Di Brunei, ia turut membekalkan gas kepada Brunei Shell Offshore, gas cecair nitrogen kepada Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd., Brunei BJ Oil Nowsco dan Brunei LNG Sdn. Bhd.

Bagi memastikan syarikat itu tidak mengalami masalah kekurangan kepakaran tempatan, Pengerusi B.I.G Industries Berhad menegaskan, syarikat itu sanggup membiayai latihan untuk para kakitangannya.

``Memang sukar untuk mendapatkan pekerja mahir, tetapi kita memberi latihan kepada mereka.

``Kita juga memberi biasiswa kepada jurutera-jurutera bumiputera atau mereka yang terbaik di syarikat untuk melanjutkan pelajaran,'' katanya.

Mazelan berkata, jika syarikat tersebut terus berkembang maju, ia juga akan turut menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Malah, beliau merasa yakin dengan kemampuan pekerja tempatan untuk membawa cabaran syarikat itu melangkah ke era kecemerlangan pada masa depan sehingga tidak ada seorang pun tenaga mahir luar negara yang diambil berkhidmat dengan syarikat tersebut.

``Kita tidak mempunyai pekerja asing. Sebanyak 100 peratus pekerja kami ialah anak tempatan,'' katanya yang menjadi Pengerusi B.I.G Industries Berhad pada April 2001.

Syarikat tersebut juga mempunyai sebuah anak syarikat dikenali sebagai BIG Oil & Gas Sdn. Bhd. (Sarawak) di mana B.I.G Industries Berhad memegang ekuiti sebanyak 30 peratus dan seorang usahawan, Khairil Annas Jusoh sebanyak 70 peratus.

Setakat ini, terdapat di antara 250 hingga 300 pekerja syarikat tersebut.

Syarikat itu kini mempunyai lima cawangan di Sarawak dalam industri gas iaitu di Miri, Kuching, Sibu, Bintulu dan satu cawangan di Labuan.

Dalam bidang perubatan pula, syarikat itu membekalkan gas jenis Nitrus Oksida Nitrus kepada sebahagian pelanggannya seperti di hospital di Miri, Bintulu, Brunei dan semua hospital kerajaan di Sabah.

Berikutan kemampuan syarikat itu semakin meningkat di negara ini, ia juga berhasrat untuk mengembangkan operasi perniagaannya di Semenanjung Malaysia.

Modal yang dibenarkan ke atas syarikat itu ialah RM100 juta manakala modal berbayar pula ialah RM19.2 juta.

Antara pelanggan terbesar syarikat itu di Sarawak ialah Kumpulan Shin Yang dan Sarawak Slipways Sdn. Bhd. dalam kerja-kerja pembinaan kapal, Sarwaja Timur untuk kerja-kerja pembinaan infrastruktur, Nam Cheong Dockyard Sdn. Bhd., dan Ironwood Shipyard.

Pihak pengurusan syarikat itu sedang meneliti program pengembangan itu memandangkan ia satu-satunya syarikat bumiputera di Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pembekalan gas dan industri minyak.

Mazelan juga menyatakan, B.I.G Industries Berhad telah memohon untuk menjadi pembekal kepada Syarikat Petrolium Nasional (Petronas) melalui program pembangunan vendor Petronas (VDP).

Labels: ,

Umat Islam England diganggu

Demonstrasi Anjuran Stop Islamisation of Europe (SIOE)

Mingguan Malaysia, Ahad, 13 September 2009

LONDON 12 Sept. 2009 – Polis antirusuhan menahan 10 orang semalam ketika menyuraikan ketegangan yang timbul akibat tunjuk perasaan anti-Islam di luar sebuah masjid di London pada hari ulang tahun serangan 11 September.

Demonstrasi anti-Islam itu mencetuskan kemarahan kira-kira 1,000 pemuda Islam berdekatan Masjid Utama Harrow, barat laut London yang menyaksikan seorang ditahan kerana melanggar keamanan dan sembilan lagi kerana memiliki senjata seperti botol peluntur, tukul dan pahat.

Polis dikerahkan selepas sekumpulan pemuda Islam yang memakai topeng muka, melontar kayu dan batu ke arah kumpulan kecil penunjuk perasaan anti-Islam berkenaan.

Suasana kecoh yang berlaku memaksa polis mengelilingi kumpulan tunjuk perasaan kulit putih itu kira-kira 500 meter dari masjid.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh pertubuhan Hentikan Pengislaman Eropah (SIOE) yang kononnya berjalan dengan aman dengan seorang anggotanya, Stephen Gash menegaskan tidak mahu sebarang masjid dibina sehingga isu kebencian diselesaikan.

Pengunjung masjid menyatakan bahawa tindakan mereka adalah semata-mata melindungi rumah Allah.

“Semua orang boleh menjalankan demonstrasi tetapi sekiranya anda melakukan hasutan kebencian ke atas manusia lain, ia tidak dibenarkan. Undang-undang Inggeris juga tidak membenarkannya,” kata Abdullah Al-Andalusi, 30.

Kebimbangan mengenai keganasan sedemikian kian meningkat selepas berlaku pergaduhan ketika perarakan menentang fundamentalisme Islam oleh sebuah kumpulan pelampau kanan, Liga Pertahanan England yang menyaksikan lebih 30 ditangkap di Birmingham. – AFP

Labels: ,