Saturday, September 12, 2009

Khairil Annas Jusoh - Kejayaan yang dicapai bukan sekadar menadah tangan

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Utusan Malaysia, 3 Februari 2004

Peribahasa `tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu', kena benar dengan kisah anak muda kelahiran Pulau Mutiara, Khairil Annas Jusoh, 32, dalam usahanya meniti kejayaan sehingga bergelar usahawan muda, pakar motivasi serta kini menerajui rangkaian firma guamannya sendiri.

Segala yang dikecapi ini, tegas Khairil bukannya setakat menadah tangan ke langit lalu rezeki akan turun, jika tanpa disiplin dan keberanian. Bak kata pepatah, `kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'.

Yang pasti, selain dua kriteria di atas, kejayaan memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani.

Malah, diperkasakan lagi dengan usaha berterusan, keyakinan, kepercayaan, kejujuran, keikhlasan, pengorbanan dan nilai-nilai positif yang lain.

Kesudian Khairil berkongsi kisah benar beliau, wajar dijadikan contoh serta pemangkin semangat terutamanya kepada generasi Melayu masa kini yang hidup dalam serba kemewahan dan kemudahan.

Khairil dilahirkan dalam sebuah keluarga yang serba sederhana, ibu bapa yang berpisah, namun beliau tidak sekalipun menjadikan `nasib malang' ini sebagai alasan tidak boleh berjaya.

Kenyataannya, biarpun sejarah kehidupannya sentiasa diulit kesempitan, keperitan dan kekurangan, Khairil mampu mencapai kecemerlangan berterusan dari sekolah rendah, universiti dan seterusnya alam kerjaya.

Malah, suatu waktu dahulu nama Khairil begitu sinonim dengan pentas pidato kerana beliau merupakan tokoh pemidato yang digeruni kawan dan lawan.

Kewibawaannya menyusun bicara, mendapat jolokan sebagai seorang yang mahir dalam pidato dan permainan bahasa di kalangan teman-teman sepengajian.

Hakikatnya, kehebatan anak bongsu dalam keluarga ini, terbukti dengan anugerah paling berprestij yang pernah dimenanginya, iaitu diumumkan sebagai Johan Pidato Piala DiRaja serta dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Piala Perdana Menteri sejak usia 16 tahun lagi.

Cantiknya lagi, ia diiringi dengan kepintaran dari segi akademik. Kecemerlangan Khairil terserlah semasa di bangku sekolah rendah lagi. Beliau memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Darjah Lima dan anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Akademik dan Ko-kurikulum di peringkat sekolah menengah.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula, Khairil bukan sahaja pemidato terbaik dan memenangi piala peringkat universiti dan kebangsaan, tetapi beliau juga merupakan pelajar terbaik UIAM dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Kepujian Kelas Pertama.

Kemudian Khairil menyambung pengajian pada tahun 1994 ke University of Cambridge, sebuah pusat pengajian tinggi yang tersohor di seluruh dunia dengan membawa pulang Sarjana Undang-undang Antarabangsa.

Selepas itu beliau bertugas sebagai pensyarah undang-undang di UIAM, Universiti Malaya dan beberapa institusi pengajian tinggi lain.

Pada tahun 1997, Khairil berpeluang mengikuti kursus dan latihan dari Institut Pemikiran yang dipelopori oleh tokoh pelopor dunia, Edward De Bono. Sejak itu beliau ditauliahkan sebagai Perunding pemikiran Dr. De Bono yang berpusat di Iowa Amerika Syarikat.

Kesungguhan Khairil tidak terhenti setakat itu sahaja, tahun lepas beliau menerima Sarjana Muda dalam Perbankan & Kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

``Saya tidak percaya kalau orang kata susah hendak berjaya kerana hidup miskin, keluarga berpecah belah, ibu bapa bercerai. Ini semua bukan alasan untuk kalah dalam perjuangan.

``Kalau saya sendiri mampu buktikan, mengapa pula orang lain tidak boleh? Tetapi dengan syarat kena berbekalkan disiplin diri yang kuat.

``Di samping itu, saya terapkan keazaman atau keinginan sebagai orang yang hebat, bagus dan berjaya sejak awal lagi,'' tegas Khairil bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana berpeluang meniti kejayaan pada usia muda.

``Saya masih ingat kata-kata pujangga, dalam hidup ini, kalau kita tidak menyelesaikan kerja kita, tidak ada orang lain boleh menyelesaikannya, selain diri kita sendiri,'' kata Khairil yang mendefinisikan kejayaan adalah sesuatu yang berterusan serta mencipta sesuatu yang baik untuk diri.

Beliau berharap, kejayaan yang diusahakan ini bertujuan untuk membuktikan bahawa anak Melayu kena rajin dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Ia sejajar dengan prinsip dan pegangan beliau iaitu kalau diri sendiri tidak berusaha, tidak ada sesiapa yang akan membantu dan menjadikan segala masalah hidup, cabaran dan cemuhan orang ramai sebagai semangat dan kekuatan diri.

Khairil menyifatkan dirinya dianugerahkan untuk matang lebih awal, kerana ia menjadi `public figure' semenjak usia 16 tahun lagi.

``Saya akui, saya sanggup ketepikan zaman remaja bukan kerana suka-suka tetapi mungkin disebabkan latar belakang diri yang serba kekurangan dan susah.

``Jadi, masa itu matlamat hanya satu iaitu untuk mencapai kejayaan. Malah, saya tidak menyesal dengan pilihan yang diambil,'' kata Khairil yang menyimpan cita-cita menjadi ahli korporat yang berjaya dan seorang negarawan suatu hari kelak.

Berkongsi pengalaman manis semasa belajar di Cambridge, cerita Khairil sepanjang berada di universiti tersebut, beliau sedar betapa ramainya orang yang pandai di dunia ini.

Tetapi Khairil mahu membuktikan sesuatu yang lebih baik lagi, iaitu bukan sekadar pandai bahkan beliau mengambil resmi padi `makin berisi, makin tunduk'.

Ini diterjemahkan melalui kemunculan Khairil di televisyen dan radio, membincangkan soal-soal motivasi, di samping itu suka melibatkan anak-anak muda dalam apa juga usaha beliau.

Hakikatnya, ketika di pusat pengajian tinggi lagi, beliau sudah terlibat dengan kerja-kerja kebajikan, khidmat masyarakat, ceramah motivasi dan kerja amal membantu anak-anak yatim secara sukarela.

Pesan Khairil sebelum menutup bicara, agar anak Melayu mengambil iktibar daripada pesanan Rasulullah s.a.w., ``lakukan lima perkara, sebelum datang lima perkara; muda sebelum tua...''.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home