Sunday, October 15, 2006

Meritokrasi ke universiti rosakkan harapan Melayu

Berita Harian, Isnin 16 Oktober 2006

Institusi pengajian tinggi tidak boleh sama taraf


PENURUNAN kedudukan Universiti Malaya (UM) ke tangga-192 dalam World University Rankings oleh Times Higher Education Supplement (THES) menimbulkan pelbagai pertanyaan mengenai kualiti UM dan universiti tempatan lain. Pelbagai pihak melahirkan kebimbangan dan menyarankan pelbagai cadangan supaya kedudukan itu diperbaiki. Apabila isu ini dilontarkan kepada bekas Naib Canselor UM, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid atau Pak Ungku, beliau melihat isu yang lebih besar dalam dunia pendidikan, terutama membabitkan orang Melayu. Dalam usia 84 tahun dan lebih 50 tahun pengalaman di universiti, ikuti pandangan Pak Ungku dalam soal jawab bersama wartawan Berita Minggu, ZIAUDDIN SHARUDDIN.


? Apa pandangan Pak Ungku mengenai kedudukan UM yang terus merosot dalam penyenaraian 200 universiti terbaik dunia oleh THES.

Ada dua perkara dalam isu ini. Pertama, persaingan markah yang disusun THES dan kedua, kedudukan UM dan universiti lain, sama ada naik atau turun dalam penyenaraian ini. Pada pandangan saya, isu lebih penting ialah mengenai kemajuan pelajar apabila dibandingkan di kalangan 17 atau 18 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di Malaysia atau peringkat serantau dan antarabangsa.

Pada pandangan saya, perkara terpenting ialah nisbah, tetapi orang selalu tidak mementingkan nisbah. Sebelum Perang Dunia II (PDII), ketika belajar bidang ekonomi di Raffles College di Singapura pada 1940-42, iaitu taraf paling tinggi boleh diperolehi di Malaysia, saya seorang diri boleh berjumpa profesor sejak tahun pertama setiap minggu.

Selepas PDII, iaitu antara 1946 sehingga 1948, dua hingga tiga pelajar berjumpa seorang profesor. Apabila saya menjadi pensyarah, hanya antara 3 atau 4 pelajar dalam tutorial. Nisbah pensyarah dan guru sangat baik. Apabila menjadi Naib Canselor UM pada 1968, nisbah menurun kepada 1:20-30. Sekarang 1: 50 dan kadang-kadang hingga 100-200. Kalau pergi ke universiti, ramai pelajar tidak tahu apabila ditanya nama profesor atau pensyarah. Pelajar tidak berpeluang berinteraksi bukan saja dengan profesor, malah pensyarah biasa.

Oleh itu, sudah tentu taraf pelajaran yang diberi dan diterima berbeza. Begitu juga nisbah antara profesor dan pensyarah. Isu ini lebih penting berbanding mengira UM jatuh enam atau 28 mata. Kaedah mengira mata adalah fokus daripada budaya Barat dan bukan budaya kita. Jangan lupa budaya universiti Barat seperti Oxford University dan Cambridge University adalah antara 400 sehingga 500 tahun. Usia Heidelberg University di Jerman adalah antara 600 sehingga 700 tahun. Saya lihat jubah yang disimpan untuk upacara universiti berusia ratusan tahun.

Saya bukukan sejarah universiti, sejarah Harvard University adalah antara 100-120 tahun. Sudah tentu, persoalan kematangan produk yang ditawarkan dan kematangan pelajar yang menerima berbeza. Kita mesti lihat semua ini. Bukan persoalan satu atau dua mata. Ini sama seperti persaingan dalam Akademi Fantasia. Siapa yang dapat banyak undi SMS menerima markah terbanyak. Pada saya, ini bukan perkara yang hendak dikira. Ini persoalan ukuran orang lain untuk budaya lain.

? Tanpa THES, kita masih perlu menilai kualiti universiti tempatan. Bagaimana keadaan universiti tempatan sekarang.

Kalau kita hendak membandingkan keadaan sekarang, berbanding 50 atau 80 tahun lalu, serta persoalan seperti apakah trend, bagaimanakah boleh memperbaiki, apakah masalah yang wujud, kita boleh tengok apakah kelemahan yang terserap dalam sistem universiti sekarang yang berkembang seperti cendawan di tengah padang.

Dulu mungkin bilangan antara 3-4 atau maksimum 10 universiti masih boleh tahan. Kalau hingga 17-18 universiti, macam mana taraf universiti itu? Kemudian kita tengok masyarakat Melayu, sudah ada fenomena graduan menganggur. Mengapa graduan menganggur?

Adakah kerana kurang kemahiran? Kenapa kerajaan mesti membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk menyelamatkan graduan menganggur. Kenapa jadi begini? Memang benar ada graduan Cina menganggur, tetapi kerana memilih tidak mahu bekerja atau memilih tidak mahu bekerja di Kuala Lumpur, tetapi di Johor Bahru.

Mereka ada pilihan sendiri, tetapi secara umum fenomena menganggur di kalangan graduan Cina tidak berlaku. Kenapa fenomena ini timbul dalam tempoh kira-kira 10 tahun lalu. Dulu tidak ada. Ketika zaman saya, majikan berebut-rebut mencari graduan.

? Keadaan sudah berubah kerana seperti Pak Ungku kata, kini ada 17-18 universiti menyebabkan keadaan sekarang berlaku.

Kenapa terjadi keadaan produk tidak laku. Punca ini tidak boleh diukur dengan satu atau dua mata seperti Akademi Fantasia. Keadaan ini mesti difahami sebagai satu masalah holistik. Adakah pelajar universiti sekarang mengambil peluang menyertai kegiatan bukan akademik seperti sukan dan kebudayaan. Kalau nasib baik, kebanyakan pelajar menjadi penonton.

Universiti itu adalah universal, iaitu everything, iaitu pelajar berminat terhadap kebudayaan, muzik atau teater, suka hati merekalah. Pelajar Harvard atau Cambridge University mempunyai peluang untuk memilih apa saja. Sekarang apa pelajar universiti kita buat? Dalam kuliah, barang kali ada 200 pelajar dan kadang-kadang hingga 300 pelajar.

Saya masih memberi kuliah hingga sekarang. Ketika kuliah, hingga muka pun saya hendak tengok dan ingat. Bagaimanapun, saya tidak boleh lihat pelajar di belakang kerana sudah satu macam apabila jauh. Ketika menjadi Naib Canselor, saya juga mengajar Teori Pembangunan Minda di Fakulti Sains dan ketika itu, 200 pelajar sudah cukup ramai.

Ada pelajar berjumpa saya di tempat letak kereta kerana hendak bertanya sesuatu perkara. Sekarang Naib Canselor atau kebanyakan pensyarah apabila menjadi dekan tidak memberi kuliah. Berapa ramai yang boleh diganggu pelajar untuk bertanya. Ini menunjukkan nisbah sangat penting.

? Permohonan memasuki memasuki universiti kini jauh berlipat kali ganda. Sudah tentu mereka yang layak berhak mendapat peluang belajar di universiti.

Mengikut Teori Piramid, kita perlu mengikut cara Jepun atau Amerika Syarikat. Di bawah ada banyak universiti dan sesiapa yang hendak memasuki universiti itu boleh berbuat demikian. Pelajar terbaik bersaing memohon universiti yang mengenakan syarat kemasukan lebih ketat. Di puncak piramid seperti 10 universiti terbaik di Amerika Syarikat, England atau Jerman cukup susah pelajar hendak memasuki universiti berkenaan.

Siapa hendak pergi ke universiti di bawah, peluang dibuka. Bagaimanapun, mutu yang dia terima sudah tentu tidak sama. Graduan universiti ini masih boleh jadi jurutera, tetapi kualiti tidak sama seperti universiti di atas. Kalau kita tengok di Malaysia, orang yang pergi ke Oxford dan Cambridge University bukan main lagi. Orang anggap macam dewa.

Saya berasa dalam sistem universiti sekarang, sudah sampai masa kita menerima sistem hierarki dan piramid. Hendak masuk universiti di bawah tiada masalah dan di Jepun, universiti begini dipanggil universiti nasi bungkus. Universiti di atas memerlukan persaingan dan kerja kuat. Jadi mutu universiti di atas cukup baik dan produk dari sini menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.

? Keadaan ini masih tidak berlaku di Malaysia.

Tidak berlaku! Semua universiti sama taraf. Ini tidak betul dan sangat tidak adil. Siapa yang dapat bawah dan siapa dapat atas. Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas, ini yang berlaku.

? Bukankah pada suatu masa Universiti Malaya menjadi pilihan utama dan hanya pelajar terbaik diterima.

Benar, pada suatu masa! Bagaimanapun yang mengacau perkara ini, sekurang-kurang ada dua pengaruh besar. Pertama, orang yang dipengaruhi birokrasi. Saya menubuhkan Pusat Asasi Sains yang hingga sekarang mengeluarkan kira-kira 20,000 orang. Dari sini, mereka memasuki Fakulti Perubatan, Kejuruteraan dan Sains.

Ketika ditubuhkan, kita sengaja mencari budak kampung yang tercicir dan tiada peluang memasuki universiti. Mereka menerima pelajaran istimewa, tetapi pada masa sama kalau tidak lulus untuk semester berikut, mereka balik kampung. Mereka bersaing dan dengan nisbah 1:20, pasti ada seseorang untuk membantu mereka.

Mereka sentiasa dipujuk kerana budak Melayu ada macam-macam kerenah. Semangat mudah jatuh. Kita menjaga mereka dan hampir 98 peratus pelajar yang memasuki Pusat Asasi Sains hari ini adalah profesor dan pakar perubatan.

Ketika mula menjadi Naib Canselor, saya perhatikan daripada 128 pelajar yang memasuki Fakulti Perubatan, nasib baik jika ada empat atau lima Melayu. Selepas tiga tahun, tinggal satu atau dua orang kerana ada yang terkandas. Kita buat keputusan dan saya sentiasa terhutang budi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat keputusan hanya mengambil Bumiputera untuk Pusat Asasi Sains.

Sejak lima atau enam tahun lalu, ada pihak sabotaj Pusat Asasi Sains. Sekarang daripada 60 calon, mungkin tinggal 20 hingga 30 orang apabila diambil oleh pihak lain kerana birokrat dan ahli politik.

Pelajar Melayu mesti ada pembimbing. Kalau biar saja budak Melayu, dia tidak dapat masuk universiti dan kalau masuk, dia hampa dan pelbagai masalah lain. Dia sentiasa perlu dikipas kerana cepat sejuk. Orang yang lemah mesti diberi tambahan.

? Ini bermakna meritokrasi untuk kemasukan pelajar ke universiti belum boleh dilaksanakan di negara ini.

Tidak boleh! Meritokrasi merosakkan harapan orang Melayu ketika ini. Barangkali dalam tempoh 50 tahun akan datang, itu cerita lain. Kalau orang kata ini perkauman, saya tengok di Amerika Syarikat mereka menggunakan pendekatan ini. Orang kulit hitam diberi bantuan khas kerana lemah seperti daripada susunan masyarakat.

Begitu juga di negara lain apabila memerlukan sistem yang menolong orang lemah hingga persaingan itu lebih kurang setanding. Masalah sekarang ialah tidak setanding. Kita mesti menerima bahawa orang Melayu dalam bidang pelajaran, ekonomi dan sosial ada masalah.

Orang memang syok bercakap mengenai meritokrasi. Kemunculan istilah ini masih baru, lebih kurang 15 tahun lalu. Malangnya, kebanyakan yang melakukan sabotaj bukan orang Cina, tetapi pemimpin Melayu sendiri. Semua dasar ini dibuat oleh orang Melayu.

Kenapa kita gila menyokong dan tidak berfikir panjang. Kita fikir anak kita saja yang sekolah menengah pun dihantar ke England. Apabila balik ke tanah air, dia anak Tan Sri, dia boleh survive, tetapi anak kampung?

Ini yang menjadi dasar Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan memberi peluang dan menolong orang lemah. Bagaimana kita hendak memberi peluang supaya mereka dapat memasuki yang di atas (universiti terbaik) dan bukan di bawah. Ini yang memerlukan bantuan.

? Kementerian Pelajaran mempunyai Kolej Matrikulasi yang matlamat penubuhan kelihatan menyamai idea Pusat Asasi Sains untuk membekalkan pelajar ke universiti. Tidakkah ini memadai.

Itu adalah pengeluaran secara besar-besaran. Kalau setiap universiti ada Pusat Asasi Sains sendiri, kementerian akan kata tidak cukup duit dan angin meritokrasi akan sentiasa berkibar di situ. Itu susah. Kita perlu fokus kepada satu atau dua universiti yang boleh mengeluarkan graduan terbaik.

Kita mesti terima bahawa dalam sistem universiti apabila perbandingan dibuat antara kemajuan antara orang Melayu dan bukan Melayu, istimewa antara orang Melayu dan Cina, pemerhatian dan pengalaman di universiti lebih 50 tahun, mendapati orang Melayu sebagai ‘late development’.

Pada peringkat awal menjadi Naib Canselor, saya mendapati orang Melayu yang belajar di Indonesia apabila pulang ke Malaysia, mempunyai banyak kelemahan. Di UM sendiri, pembangunan minda budak Melayu perlahan berbanding kaum lain.

Bagaimanapun, orang Melayu sentiasa boleh memperbaiki kekurangan dan kelemahan. Kalau kita bagi pelajaran empat tahun, ini jauh lebih baik berbanding tiga tahun. Jika hingga lima tahun, kebolehannya bertambah baik. Orang Cina apabila sudah bagus, dia bagus begitu saja. Graf tidak naik. Minda orang Melayu mengambil masa. Saya dan rakan di UM yang membincangkan perkara ini menerima bahawa ini bukan kerana orang Melayu malas.

? Jika bukan kerana malas, apakah pula faktor menyebabkan pembangunan minda orang Melayu perlahan.

Pertama adalah faktor pemakanan yang berkait rapat dengan kemiskinan. Dalam Mapen (Majlis Perundingan Ekonomi Negara) II yang saya sendiri turut menulis, antara kelemahan Bumiputera ialah aspek pemakanan. Kalau pergi Kelantan, susun budak lelaki dan yang kalau perempuan dikatakan comel, seperti orang Jepun sebelum zaman PDII, kecil dan rendah.

Adakah Tuhan menentukan orang Kelantan tidak boleh tinggi hingga enam kaki. Apalah punca keadaan ini? Kalau kajian dibuat, tetapi kerajaan tidak suka bercakap mengenai perkara ini, ambil 1,000 anak lelaki di Johor dan Selangor, berbanding Kedah, Kelantan dan Terengganu, sampel rawak menunjukkan secara umum budak dari Pantai Barat lebih tinggi.

Di Jepun selepas PDII, Amerika Syarikat mengarahkan Jepun menukar kaedah pemakanan dengan memberi makanan percuma di sekolah. Di negara kita juga ada skim makanan percuma di sekolah, tetapi tidak dihubungkan dengan pertumbuhan fizikal.

Mereka hanya dapat makanan percuma ketika di sekolah rendah, sedangkan rahsia pertumbuhan fizikal ialah pada tujuh tahun pertama akan menentukan sama ada gen seseorang budak hendak menjadi tinggi atau tergencat.

Kedua, kemudahan. Budak Melayu pada zaman dulu sama ada ibu bapa membuatkan permainan atau mereka membuat permainan sendiri, mempunyai pelbagai permainan yang sesuai dengan masyarakat Melayu. Sekarang kalau hendak alat permainan mesti beli di kedai dan alat permainan ini mahal. Kalau ada sembilan anak, jadi anak-anak duduk diam saja. Wanita pula tiada masa hendak bermain permainan dan sentiasa bekerja di rumah. Emak menyuruh anak perempuan buat itu dan ini. Jadi sejak kecil wujud pengaruh minda terbuka hendak belajar dan lebih bersaing kerana didesak. Orang ingat anak lelaki saja akan maju. Itu budaya Arab.

Hari ini, hampir semua universiti, lebih 50 peratus (seharusnya 30-40 peratus wanita) dan ada yang hingga 60 peratus pelajar Melayu yang mencapai keputusan baik dalam peperiksaan adalah wanita. Wanita Melayu sangat berjaya dan di mana saja, sudah ramai wanita menjadi Ketua Setiausaha (KSU) dan Timbalan KSU. Inilah trend dalam tempoh 20 tahun lalu. Ini mengambil masa lama dan kita mesti bagi kejutan kepada lelaki.

Bagaimanapun, ini satu masalah di universiti kerana kalau dibiarkan, pelajar wanita boleh meningkat hingga 70-80 peratus. Ada masalah sosial yang akan timbul. Timbul masalah bagi lelaki apabila jati diri menjadi lemah. Ini masalah yang sangat istimewa untuk orang Melayu. Kaum Cina, ini bukan masalah kerana budaya Cina menganggap lelaki akan naik. Wanita Cina akan naik tetapi tidak terlalu pantas. Bagi kebanyakan masyarakat India berpendidikan, wanita mempunyai peluang lebih baik berbanding wanita lain dan bukan terhadap lelaki.

? Bagaimana kalau kita fokus kepada keadaan yang berlaku di UM.

Keadaan UM adalah ekoran sejarah 5 sehingga 10 tahun lalu. Kenapa UM terjadi dalam keadaan begitu? Ini bukan seperti Akademi Fantasia. Ini proses yang mengambil masa. Ini ada hubung kait, kalau buat begini, benda ini akan menjadi semakin baik, kalau buat macam ini, benda ini akan terbiar. Kemudian persaingan dalam meritokrasi, orang Melayu menjadi semakin ke bawah dan ini menarik kepada umumnya UM turun ke bawah.

Kita boleh tengok sejarah beberapa Naib Canselor sebelum ini dan pegawai yang menjadi pihak berkuasa di kementerian dan universiti. Bagaimana sikap mereka berbanding antara satu sama lain. Saya tidak mahu kritik UM, tidak baik. Nanti orang sakit hati dan perdebatan berubah kepada perkara lain.

? Kalau universiti di negara ini dilihat secara keseluruhan.

Nombor satu ialah nisbah. Kita sedia mengambil ramai pelajar, tetapi tidak fikir bagaimana kalau sudah ramai masuk. Adakah mereka diberi bekalan mencukupi. Adakah pelajar mempunyai semangat membaca buku dan bukan menghafal nota ketika musim peperiksaan.

Naik satu atau dua tangga tidak relevan ketika ini kerana kita bersaing dengan Harvard University. Universiti tumbuh terlalu cepat kerana politik. Universiti dibuka tanpa mempedulikan aspek nisbah, cukup buku teks atau tidak serta pelajar membaca buku atau tidak.

Orang tidak fikir habis-habis dan yang menjadi mangsa ialah pelajar. Kalau beri layanan kurang baik, produk akhir juga kurang baik.

Niat PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) cukup baik, tetapi apa yang terjadi? Ramai pelajar mendapat pinjaman tidak membayar balik. Kemudian saya dengar sebab saya tidak buat kajian, pelajar beli telefon bimbit dan macam-macam, tetapi tidak hidup betul. Bukankah lebih baik diberi kupon untuk ditukar dengan makanan dan buku, tetapi itu banyak kerenah. Bagaimanapun, kalau hendak menolong orang Melayu, kena tolong dengan cara yang berkesan dalam dunia orang Melayu.

? Adakah THES langsung tidak relevan atau ada pilihan lain untuk menentukan kualiti universiti kita.

Kalau beli pakaian di Amerika Syarikat, saiz medium lebih besar berbanding small kerana itu ukuran masyarakat negara itu. THES juga adalah ukuran masyarakat Barat. Media menghebohkan ini sebagai perkara besar. Naik dua atau tiga mata, lebih baik masuk Akademi Fantasia. Marshall McLUhan, seorang profesor komunikasi massa Kanada dalam bukunya The Medium is the Massage, berkata media ini mempengaruhi manusia.

Jangan pergi ke tempat yang orang lain buat ukuran. Kita kena buat ukuran sendiri yang sesuai dengan Malaysia. Kita mesti buat skala sendiri, mengapa kita mesti ikut. Kita boleh buat. Kalau ada 20-25 IPTA dan IPTS, kita buat skala sendiri.

Kita tengok skala itu, apakah yang hendak diukur. Kenapa kita malas hendak buat dan ambil saja dari Barat yang tidak sesuai dengan kita.

? Ada yang mempertikaikan bahawa kita menghantar pelajar terbaik ke luar negara dan meninggalkan yang sederhana untuk universiti tempatan.

Itu satu lagi masalah, pelajar tajaan Petronas ke luar negara. Ini seperti membuat tali air ke luar negara. Ini pengaruh nisbah yang buruk. Kalau kita buat yang terbaik di universiti terbaik negara ini, semua orang akan cuba hendak masuk. Saya ingat universiti terbaik ini paling banyak ialah tiga atau empat.

Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, memang berani tetapi mungkin bukan tahun ini, tetapi tahun depan. Mungkin bukan zaman saya, tetapi zaman lain. Bagaimanapun mesti lakukan sekarang kerana sekarang pun terlewat. Penambahan kemasukan pelajar berlaku setiap tahun dan apabila tidak cukup, bilangan universiti terus ditambah. Banyak sangat universiti, tetapi tiada kualiti. Kemudian kita ukur dengan THES, itu tidak bermakna.

Kita patut pilih universiti terbaik. Itu keputusan politik dan bukan akademik. Kita tentukan mahu tiga atau empat universiti yang digalakkan mewujudkan produk berkualiti tinggi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home