Saturday, February 10, 2007

Kurang tumpuan punca pelajar ke Jepun lemah

Berita Harian, 10 Februari 2007

JPA kesan 5 faktor pencapaian penuntut cemerlang merosot

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) mengenal pasti lima faktor utama menyebabkan pretasi akademik pelajar cemerlang tajaannya ke Jepun di bawah Dasar Pandang ke Timur, lemah ketika mengikuti pengajian di negara berkenaan.

Pengarah Bahagian Latihan jabatan itu, Lamien Sawiyo, berkata antaranya pelajar terbabit bekerja sambilan kerana ingin mengumpul wang hingga menjejaskan tumpuan mereka terhadap pengajian.

“Sedangkan biasiswa JPA sebanyak 138,000 yen atau kira-kira RM4,100 sebulan lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan kos mereka, termasuk makan minum, penginapan dan pengangkutan.

“Faktor lain ialah pelajar lemah penguasaan bahasa Jepun tetapi tidak berusaha sendiri untuk mengatasinya, sebaliknya leka dengan permainan komputer hingga lupa pelajaran.

“Di samping itu, mereka kerap ponteng kelas kerana sukar bangun pagi dengan alasan cuaca sejuk serta gemar membaca komik Jepun hingga lupa buku pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sijil Rancangan Persediaan Khas Jepun (RPKJ) sesi 2006/2007 kepada 134 pelajar di Universiti Malaya (UM), semalam.

Hadir sama Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr Aishah Ong; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin; Pengarah Pusat Asasi Sains, Prof Madya Dr Azilah Abd Rahman serta wakil Duta Besar Jepun ke Malaysia, Daisuke Yamamoto.

Pelajar terbabit berjaya dalam peperiksaan Monbukagakusho dan dijadualkan berlepas ke Jepun untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah, bulan depan.

Sehubungan itu, Lamien menyarankan ibu bapa supaya bersama JPA mengikuti perkembangan akademik pelajar ditaja ke Jepun supaya mereka tidak tergelincir dari landasan disediakan, sekali gus dapat mengelakkan gejala negatif terbabit.

Sambil menegaskan kejayaan bukan mudah dicapai tanpa kesungguhan dan semangat serta azam tinggi, beliau turut mengingatkan pelajar berkenaan supaya memanfaatkan peluang mengikuti pengajian di Jepun untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman.

“Tahun ini genaplah 25 tahun pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur yang menjadi titik tolak kerajaan menghantar pelajar ke Jepun. Sejak itu, JPA menaja 2,609 pelajar di bawah program ijazah Jepun ini yang lebih dikenali sebagai Program Akademik Jepun.

“Program ini berjaya melahirkan ramai tenaga kerja mahir dan profesional diperlukan negara. Graduan dari negara berkenaan sentiasa menjadi rebutan syarikat gergasi Jepun dan Malaysia,” katanya.