Thursday, June 14, 2007

Malaysia negara Islam fundamental - Dr Mahathir

20/06/2002 4:31 p.m.

ZAINI HASSAN, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 20 Jun - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa Malaysia tetap sebuah negara Islam - tetapi yang fundamental dan bukan sederhana - berpegang penuh kepada asas al-Quran dan Hadis sahih.

Perdana Menteri menjelaskan, banyak negara bukan Islam mendakwa bahawa orang Melayu dan negara Malaysia adalah ``moderate'' atau sederhana daripada segi keislamannya, tetapi itu tidak benar sama sekali.

``Kita bukan ``Moderate Muslims''. Kita adalah ``Muslim fundamentalists'' iaitu kita berpegang kepada asas-asas atau ``fundamentals''ajaran Islam,'' katanya.

Dr. Mahathir yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar merasmikan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Istilah ''fundamentals'' dan ''fundamentalists'' banyak digunakan oleh Barat dan media-medianya, menggambarkan Islam dan penganutnya yang ekstremis dan keras.

Jelas Dr. Mahathir, ajaran Islam yang ``fundamental'' dan sebenar tetap akan menjadikan orang Melayu sebagai manusia yang baik dan berjaya.

``Betapa tidak?

``Bukankah Islam menyuruh semua orang Islam bersatu dan bersaudara; bukankah Islam menyuruh orang Islam membaca; iaitu mempelajari ilmu.

``Bukankah Islam menyuruh kita menuntut kebahagiaan di akhirat dan jangan lupa akan kebahagiaan kita di dunia, bukankah agama Islam menyuruh kita bermusuh hanya dengan orang yang bermusuh dengan kita, bukankah agama Islam melarang perbuatan yang mungkar dan menyeru kepada yang maaruf, berlaku adil dan bermacam-macam lagi yang baik dan membina?'' katanya.

Bagaimanapun, katanya dalam kesungguhan orang Melayu mengikuti asas-asas kebaikan dan kesucian agama itu, ramai daripada mereka sendiri mengikut nafsu, mencipta serta menafsir ajaran Islam untuk menghalalkan perbuatan yang bertentangan dengannya.

``Dan lepas itu, kita tidak faham kenapa kita gagal,'' katanya dalam bab ucapan Kembali ke Jalan Benar, yang mengaitkan sikap orang Melayu yang gagal menghayati asas-asas ajaran Islam itu walau atas dasar apa sekali pun Islam itu disebut.

Majlis perasmian perhimpunan tahunan parti itu, yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara oleh radio dan televisyen, dihadiri oleh 2,033 anggota perwakilan dan wakil Kelab UMNO luar negara serta parti-parti siasah negara asing.

Menyentuh mengenai bab ucapannya bertajuk: Malaysia Jelas Negara Islam, Dr. Mahathir menegaskan bahawa perbahasan berkenaan Malaysia sebagai Negara Islam tidak perlu diteruskan.

``Malaysia sudah pun Negara Islam. Hanya yang perlu dibuat ialah menentukan negara ini tidak disesatkan oleh pihak tertentu kerana kepentingan politik mereka sehingga tidak lagi Islam, sehingga menjadi lemah dan ditindas oleh musuh-musuh Islam.''

Sehingga kini, tegas Perdana Menteri, pihak tertentu tidak dapat menjelaskan negara Islam yang kononnya mereka akan dirikan di Malaysia jika mereka berkuasa.

Yang diumumkan, katanya ialah cara-cara pemerintahan yang tidak berbeza dengan yang terdapat sekarang - iaitu secara tidak langsung mengakui akan kebenaran kenyataan bahawa Malaysia adalah Negara Islam sejak merdeka.

``Mereka tidak sebut dengan jelas akan hasrat mereka untuk melaksanakan hukum yang didakwa oleh mereka sebagai Hukum Hudud supaya kita semua tahu jenis keadilan atau ketidakadilan yang hendak dilaksanakan oleh mereka jika, Na'uzubillah, mereka berkuasa,'' katanya.

Jelas Dr. Mahathir lagi, jika kita mendakwa Malaysia adalah negara Islam, sebabnya amat jelas iaitu orang Islam di Malaysia bebas hidup secara orang Islam, tidak dihalang beribadat, dan mereka menikmati keadilan seperti yang dituntut oleh agama Islam.

Bagaimanapun, dalam kebaikan itu semua, katanya, sudah tentu ada di antara mereka yang melakukan jenayah atau menyalahgunakan Islam untuk kepentingan lain; mereka yang menentang pemerintah dengan keganasan dan cara-cara lain.

Ini termasuklah, tegas beliau mereka yang menyembunyikan ajaran Tuhan mengikut Surat Al-Baqarah, Ayat 47 yang bermaksud:

``Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari apa neraka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.''