Wednesday, August 19, 2009

Wujudkan universiti elit di Malaysia

Utusan Malaysia, 15 Disember 2002

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Ghazalibersetuju dengan pandangan itu, tetapi beliau tetap melihat ada kekurangan yang ketara di universiti-universiti Malaysia.

Apakah kekurangan itu?

Menurut beliau, universiti-universiti kita masih tidak memenuhi kriteria universiti antarabangsa.

Dalam satu interviu dengan Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr. Zulkifli percaya masalah itu mungkin boleh diatasi jika kerajaan membenarkan universiti elit diwujudkan di Malaysia.

Beliau yakin universiti elit dapat menggalakkan persaingan dalam pendidikan tinggi.

Dr. Zulkifli juga memberitahu wartawan BAHAROM MAHUSIN dan RAMLI ABDUL KARIM bahawa memanglah dari satu segi ahli-ahli sukan di Malaysia mendapat lebih keistimewaan berbanding ahli-ahli akademik.

Jika ahli sukan memenangi pingat emas dalam kejohanan sukan antarabangsa, mereka mungkin mendapat hadiah wang tunai RM80,000.

``Ahli akademik yang memenangi hadiah pingat emas dalam pertandingan penyelidikan sains antarabangsa hanya

dibayar RM5,000 oleh universiti,'' katanya.

Bagaimanapun, wang tunai bukanlah nilai penyelidikan ahli akademik.

Kata Dr. Zulkifli, pensyarah yang memenangi pingat emas pertandingan penyelidikan lazimnya akan lebih cepat naik pangkat.

``Mereka sebenarnya lebih beruntung daripada ahli sukan. Jika kerana penyelidikan itu mereka akhirnya menjadi profesor, mereka akan menikmati gaji RM12,000 sebulan. Saya boleh katakan hadiah wang tunai RM5,000 itu memang kecil, tetapi itu bukanlah nilai sebenar karier ahli akademik.''

MINGGUAN: Sepanjang tahun 2002, perdebatan dalam bidang pendidikan di Malaysia lebih banyak difokuskan kepada isu-isu pendidikan peringkat rendah. Pada tahun ini kita kurang bercakap soal pendidikan tinggi. Dalam konteks perdebatan ini, bagaimanakah Datuk melihat kedudukan pendidikan tinggi di Malaysia?

DR. ZULKIFLI: Saya merasakan memang wajarlah kita melihat isu-isu pendidikan sekolah rendah kerana ia pendidikan asas. Dalam mana-mana organisasi dan sistem, yang penting ialah akar tunjangnya. Pendidikan rendah ialah akar tunjang.

Kalau akar tunjang di peringkat pendidikan rendah tidak baik, apabila sampai ke peringkat universiti pelajar-pelajar yang kita dapat mungkin tidak berkualiti.

Walaupun universiti boleh memainkan peranan untuk membangunkan seseorang individu tetapi segala pengalaman pelajar, fokus dan orientasinya berkembang di peringkat sekolah. Pendidikan rendah yang menentukan keupayaan seseorang pelajar universiti pada masa depan.

Oleh itu saya fikir memang wajar kerajaan memberi tumpuan penuh untuk meningkatkan mutu pendidikan di peringkat pendidikan rendah dan menengah, dan juga di peringkat prasekolah.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri menganggap isu pendidikan sebagai isu nasional yang terpenting. Beliau berkata baru-baru ini bahawa sebelum bersara beliau berhasrat untuk memastikan tercapainya dua perkara.

Pertama, memperkemaskan sistem pendidikan dan kedua, mempereratkan perpaduan masyarakat.

Saya percaya fokus kepada pendidikan rendah itu selaras dengan keprihatinan Dr. Mahathir.

Apabila timbul perdebatan mengenai hala tuju sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia, ia menunjukkan kita ada banyak masalah dalam pendidikan peringkat berkenaan. Adakah ini bermakna pendidikan tinggi di Malaysia tidak bermasalah?

DR. ZULKIFLI: Memang ada beberapa masalah di peringkat pendidikan universiti, tetapi saya fikir pendidikan universiti di Malaysia mesti menunjukkan imej pendidikan terbaik kalau ia ingin menjadikan universiti-universiti di negara ini bertaraf antarabangsa.

Ada banyak kriteria yang menentukan taraf sesebuah universiti sama ada ia bertaraf antarabangsa atau hanya universiti bertaraf tempatan.

Antaranya ialah kita mesti ada tenaga pengajar yang terbaik, terlatih dan dikenali sebagai intelektual. Kedua, universiti kita mesti melaksanakan pemilihan untuk mendapatkan pelajar-pelajar terbaik memasuki sistem universiti.

Bayangkan kalau saudara hendak masuk Universiti Cambridge, saudara perlu memperoleh 3A dalam peperiksaan STPM dan A Level membabitkan mata pelajaran Matematik, Fizik dan Kimia.

Di Malaysia, universiti-universiti kita hanya tetapkan syarat minimum kemasukan 2A.

Di UTM, kita telah mula mengorak langkah untuk mengetatkan syarat-syarat kemasukan. Kalau lepasan SPM, dulu kita memerlukan cuma lima kepujian, tetapi kini kita sudah naikkan kepada enam kepujian termasuk kepujian minimum wajib C4 dalam mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan dan Fizik.

Ini ialah salah satu cara UTM untuk menunjukkan bahawa kita secara perlahan-lahan mestilah menjadi sebuah universiti yang bertaraf dunia.

Saya percaya dalam sistem pendidikan kita harus mempunyai dua jenis pendidikan iaitu pendidikan untuk semua (mass education) dan pendidikan elit (elite education).

Universiti-universiti terbaik dunia seperti Cambridge, Oxford, Harvard dan MIT ialah universiti elit kerana ia menapis kemasukan pelajar. Pentadbir-pentadbir universiti itu tahu ramai orang ingin masuk ke universiti mereka, kerana itulah mereka meletakkan syarat-syarat kemasukan yang ketat.

Kalau boleh saya mahu kerajaan membenarkan UTM menjadi universiti elit dalam sesetengah bidang di samping memainkan peranan sebagai universiti untuk semua (mass education).

Bagaimanapun saya faham bahawa universiti di Malaysia juga perlu meneruskan peranan membangunkan negara menerusi agenda pendidikan bangsa.

Kita hendak pastikan peluang-peluang pendidikan teknikal di Malaysia turut terbuka kepada anak-anak bangsa kita sama ada di bandar atau desa.

Tetapi Datuk, saya fikir kerajaan pada masa ini seperti tidak ada rancangan untuk mewujudkan universiti elit di Malaysia. Sebab itulah Kementerian Pendidikan mengawal proses kemasukan pelajar ke universiti melalui satu sistem berpusat. Kementerian Pendidikan yang mengagih-agihkan pelajar, bukan universiti yang menentukannya. Adakah kawalan kemasukan itu perlu diperbetulkan terlebih dahulu sebelum kita dapat melahirkan universiti elit di Malaysia?

DR. ZULKIFLI: Saya melihat begini. Apabila sudah tumbuh lima atau enam kolej universiti yang menumpukan kepada usaha melahirkan para pelajar berkemahiran, ini akan membuka ruang kepada universiti-universiti seperti UTM untuk hanya menumpukan kepada pembangunan pemikiran yang mendalam di peringkat sarjana dan ijazah tinggi.

Jika proses ini berjalan lancar akhirnya universiti kolej akan melahirkan pelajar-pelajar berkemahiran manakala universiti seperti UTM pula akan dikenali sebagai universiti penyelidikan.

Bagi saya, setiap orang ada IQ yang berbeza. Memang untuk masuk mana-mana universiti, kita perlukan IQ sekurang-kurangnya 120. Tetapi dalam kes universiti-universiti elit, pelajar yang masuk ke universiti itu memerlukan IQ yang lebih tinggi daripada 120. Mungkin IQ mereka perlu di sekitar 150.

Para pelajar universiti elit di Malaysia mestilah diberi peluang untuk mendapat pendedahan membuat penyelidikan dan diajar tentang problem solving.

Maknanya di universiti elit para pelajar perlu dididik untuk menyelesaikan masalah.

Saya yakin orang yang diberi latihan sebagai intelektual akan dapat melihat setiap masalah secara analitikal. Mereka akan mampu menceraikan masalah-masalah supaya menjadi kecil, dan kemudian menyelesaikannya satu per satu baik masalah kejuruteraan, perubatan, ekonomi mahupun sosial.

Seorang jurutera perlu diajar berfikir begitu supaya apabila dia keluar, dia akan dapat menyelesaikan masalah kejuruteraan dengan cara terbaik.

Di universiti elit, seseorang perlu dilatih untuk menjadi intelektual yang terbaik. Dia akan sentiasa meneroka bidang ilmu dan mencari jalan untuk mendapatkan penyelesaian terbaru.

Universiti elit perlu diwujudkan supaya kita dapat melahirkan lebih ramai the thinking person sama ada dalam menghadapi masalah ekonomi, sosial, ketenteraan, kejuruteraan, perubatan atau sains.

Kita perlu melatih pelajar-pelajar kita menjadi orang yang berfikir secara analitikal supaya mereka tidak melakukan sesuatu secara biasa. Kita perlukan rakyat yang dapat melakukan sesuatu dengan cara luar biasa.

Kalau kita mahu melihat industri dan ekonomi di Malaysia berdaya saing, kita perlu banyak mengeluarkan graduan yang boleh berfikir secara the problem solving. Kalau graduan seumpama itu kita lahirkan, beri apa saja masalah mereka akan dapat mencari penyelesaian yang terbaik.

Saya percaya universiti elit perlu diwujudkan di Malaysia untuk melahirkan kumpulan graduan seumpama itu.

Datuk menyatakan tentang kemungkinan mewujudkan universiti elit. Tetapi di Malaysia, langkah mewujudkan universiti elit merupakan satu urusan yang kompleks melibatkan dasar kerajaan, peruntukan dan persaingan dengan universiti lain. Ada banyak isu yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum universiti elit dapat diwujudkan di negara ini. Apakah komen Datuk?

DR. ZULKIFLI: Terlebih dahulu kita lihat sistem sekolah di Malaysia. Kenapa ada sekolah elit? Pelajar-pelajar terbaik akan cuba memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah-sekolah menengah sains. Kenapa para pelajar terpilih itu tidak masuk sekolah biasa? Jawapannya ialah kerana sekolah-sekolah elit itu diberi lebih tumpuan oleh kerajaan.

Sekolah-sekolah elit itu telah mendapat pengiktirafan. Orang-orang terbaik akan memohon memasukinya. Dan pemilihan kemasukan pelajar dibuat bagi menentukan siapa pelajar yang layak.

Di Malaysia, kita ada sistem elit di peringkat sekolah, tetapi tidak di peringkat universiti. Sepatutnya universiti diberi kebebasan memilih pelajar mereka di kalangan yang terbaik. Kena ada universiti yang diberi kebebasan untuk memastikan hanya pelajar yang terbaik ditawarkan masuk ke universiti itu.

Dalam erti kata lain universiti di Malaysia perlu diberi keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh sekolah-sekolah elit.

Dengan melahirkan universiti elit, universiti akan terpaksa menjaga reputasinya dan berusaha sedaya upaya meningkatkan pengiktirafan pihak luar.

Sebab itulah saya tegaskan tadi tentang pentingnya universiti di Malaysia mencapai status universiti bertaraf antarabangsa.

Apakah kriteria universiti bertaraf antarabangsa?

DR. ZULKIFLI: Ada beberapa syarat untuk menjadi universiti bertaraf antarabangsa.

Pertamanya, pengiktirafan daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa mengenai kekuatan sesebuah universiti.

Kalau kita mahu mendapatkan pengiktirafan sedemikian, kita mestilah menjalankan aktiviti-aktiviti yang membolehkan universiti diiktiraf.

Aktiviti-aktiviti itu pula haruslah berlandaskan kepada beberapa aspek termasuk keupayaan pensyarah untuk mengajar ilmu-ilmu yang terbaru dan terbaik.

Kedua, kita mestilah mendapatkan pelajar-pelajar yang terbaik. Ini kerana cuma pelajar terbaik mampu mengikut pemikiran profesor yang terbaik. Sesebuah universiti akan rugi kalau profesornya dapat berfikir dengan tinggi tetapi para pelajar tidak mampu mengikut pemikiran profesor itu tadi.

Kalau itu terjadi, ia akan menyebabkan tenaga akademik universiti menggunakan lebih banyak masa untuk memberi kefahaman dan mendidik pelajar terbabit yang terdiri daripada kumpulan pelajar yang bukan daripada kalangan yang terbaik. Ini boleh merencatkan perkembangan keseluruhan universiti.

Universiti elit perlu menarik pelajar terbaik. Pelajar yang terbaik sebenarnya sudah ada kebolehan untuk mempelajari ilmu, jadi pensyarah dan profesor cuma memandu mereka. Mereka tidak lagi dididik seperti kita mendidik para pelajar universiti sekarang.

Pensyarah cuma berkata: ``Ini ilmu terbaru, bidang terbaru, jurnal-jurnal terbaik, sila saudara baca dan kita boleh bincang.'' Pelajar terbaik dapat menyahut cabaran pensyarah. Cara inilah yang akan merancakkan lagi pendidikan dan penyelidikan di universiti.

Oleh kerana IQ mereka tinggi, pelajar-pelajar di universiti elit sebenarnya menuntut mereka diberikan masalah-masalah yang mencabar.

Jadi kita kena membezakan universiti elit dengan universiti-universiti lain. Ini bukan bermakna universiti lain tidak bagus, tetapi kewujudan universiti elit akan mencetuskan persaingan yang sihat di kalangan universiti di Malaysia.

Adakah langkah itu nanti akan menyebabkan universiti elit akan lebih hebat daripada universiti biasa?

DR. ZULKIFLI: Mungkin universiti itu juga ada kelemahan, tetapi saya percaya dalam menguruskan sesebuah organisasi kita perlu memfokus kepada kekuatan sendiri.

Di UTM, kami mengamalkan konsep `tumpukan kepada kekuatan, bukan kelemahan'. Inilah dasar yang telah saya perkenalkan di UTM.

Saya tahu bahawa setiap orang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing, tetapi jangan kita terlalu memikirkan kelemahan-kelemahan. Lupakan kelemahan itu. Utamakan kekuatan kita.

Saya beri contoh. Kalau seseorang itu mempunyai kelemahan iaitu dia tidak boleh bermain bola, adalah tidak ada manfaat jika dia bermain bola.

Mungkin kekuatannya bukan pada kaki tetapi pada tangan.

Kenal pasti apakah kekuatan kita. Kalau tangan merupakan kekuatan kita, pergilah bermain golf.

Jika kekuatan kita ialah mental, kita mungkin boleh bermain catur atau permainan-permainan lain yang memerlukan pemikiran strategik.

Pada hari ini pemikiran strategik amat penting dalam kepimpinan. Dalam pengurusan, ada dua elemen iaitu strategik dan taktikal. Seorang pemimpin yang baik mestilah berfikir secara strategik.

Salah satu elemen yang penting untuk mewujudkan universiti elit ialah ranking universiti. Ranking perlu dibuat oleh pihak berkuasa. Tetapi di Malaysia, ranking seumpama ini tidak diperkenalkan seperti dalam sistem pendidikan tinggi di Amerika Syarikat atau United Kingdom. Adakah dengan mewujudkan ranking ini ia akan membolehkan kita mencapai cita-cita untuk mewujudkan universiti elit?

DR. ZULKIFLI: Sebenarnya di Institut Pendidikan Tinggi Awam kita bersetuju perlu ada akreditasi atau jaminan kualiti pendidikan. Ini satu dasar yang umum. Tetapi dinyatakan juga bahawa ranking tidak patut diberikan kerana ditakuti nanti ia menyebabkan ada universiti bertanya kenapa ranking universiti mereka sedemikian rupa.

Sebenarnya isu ini amat sulit. Kita mesti melihatnya dari banyak sudut. Kita perlu mewujudkan pihak berkuasa yang boleh menetapkan ranking secara saksama.

Bayangkan sensitiviti ini. Bagaimana kita mahu memberi ranking sama ada profesor ini bagus atau profesor itu bagus? Profesor-profesor universiti pula sememangnya hebat. Siapakah yang akan membuat penilaian itu? Maknanya kita perlukan satu institusi yang lebih hebat untuk menilai profesor-profesor universiti.

Secara peribadi saya berpendapat daripada membuat penilaian berdasarkan ranking, adalah lebih baik kita mendapatkan pengiktirafan daripada masyarakat terhadap universiti. Masyarakat yang menentukan yang mana satu universiti elit. Cara itu mungkin kurang sensitif.

Di Amerika Syarikat dan United Kingdom ranking dibuat ke atas universiti-universiti dan juga bidang-bidang pengajian dalam sesebuah universiti. Di Malaysia, langkah seperti itu tidak dilakukan. Adakah dasar antiranking ini menyusahkan pentadbir-pentadbir universiti?

DR. ZULKIFLI: Memang benar di Amerika Syarikat dan United Kingdom terdapat ranking seperti yang saudara katakan itu. Tetapi dalam lawatan-lawatan saya ke sana, para pentadbir universiti di negara-negara itu ada menyatakan kepada saya bahawa sebenarnya mereka juga tidak bersetuju dengan sistem ranking.

Masalah utamanya ialah mereka terpaksa menumpukan banyak masa untuk mengisi pelbagai borang bagi tujuan penentuan ranking. Masa yang sepatutnya digunakan untuk pengajaran dan penyelidikan telah diambil untuk tujuan mengisi borang.

Dalam konteks ini juga kita mesti ada parameter yang sama untuk membuat ranking. Sukar untuk kita membandingkan antara sebiji oren dan sebiji epal. Begitu juga dalam membandingkan universiti.

Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum membuat ranking dan menerima sistem ranking universiti. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita menolak sepenuhnya ranking universiti. Kita perlu fikirkan soal ini lebih lanjut. Mungkin kita boleh lakukan ranking mengikut kumpulan universiti.

Saya percaya salah satu masalah universiti di Malaysia ialah kerajaan tidak menggalakkan persaingan antara universiti. Persaingan antara universiti hampir tidak ada langsung di negara kita. Universiti di Malaysia ditubuhkan dengan konsep pendemokrasian pendidikan, bukan dengan matlamat persaingan.

Adakah Datuk bersetuju bahawa inilah masalah utama universiti-universiti Malaysia?

DR. ZULKIFLI: Saya rasa persaingan antara universiti sepatutnya diwujudkan. Persaingan mungkin tidak kita sukai tetapi ia akan membawa kepada kecemerlangan.

Kalau kita hanya melaung-laungkan untuk mendapat kecemerlangan sedangkan kita tidak mengizinkan persaingan, adakah kita akan sampai ke tahap kecemerlangan?

Berdasarkan perspektif ini, saya kurang percaya kepada keseragaman universiti.

Di Malaysia, oleh kerana kita terlalu menyelaras banyak perkara, kita akhirnya menutup ruang untuk universiti-universiti berbeza dan melemahkan fokus mereka.

Adakah maksud Datuk sesebuah universiti mesti dibebaskan untuk memberi respons kepada perubahan-perubahan?

DR. ZULKIFLI: Ya. Kita mesti ada misi yang fleksibel dan adaptif. Universiti perlu dibolehkan mengubahsuai diri mengikut keadaan.

Berbalik kepada soal persaingan antara universiti, bagaimanakah persaingan itu boleh diwujudkan dalam persekitaran pendidikan tinggi di Malaysia sekarang yang banyak pantang larangnya?

DR. ZULKIFLI: Saya rasa persaingan tidak wujud di Malaysia hanya dari sudut pengambilan pelajar. Dalam aspek lain, persaingan sepatutnya wujud.

Misalnya aspek penyelidikan. Setiap universiti sepatutnya bersaing untuk memastikan bahawa penyelidikan yang dijalankan di universiti masing-masing adalah yang terbaik. Setiap universiti termasuk UTM mestilah menunjukkan mereka sentiasa ke hadapan berbanding universiti lain dalam bidang penyelidikan.

Kalau Datuk lihat universiti-universiti terbaik di dunia, biasanya ia mengumpulkan the best brain. Cerdik pandai terbaik yang menjadikan sesebuah universiti itu hebat. Adakah universiti di Malaysia boleh mengumpulkan the best brain?

DR. ZULKIFLI: Sebenarnya dari segi mengumpul cerdik pandai terdapat banyak sebab kenapa seorang profesor yang hebat itu mahu bekerja di sesebuah universiti. Ada yang melihat soal gaji, suasana perkhidmatan dan sokongan yang diberi kepadanya untuk membuat penyelidikan.

Selain itu yang turut ditimbangkan ialah soal prestij. Bayangkan kalau seseorang profesor boleh bertugas di Universiti Cambridge. Walaupun tempohnya singkat iaitu setahun dua dan cuma dibayar sedikit, kita sanggup pergi ke sana untuk mendapatkan prestij tersebut.

Kebanyakan profesor dari luar terutama yang masih muda bertanyakan sama ada mereka mempunyai ruang di Malaysia untuk meneruskan penyelidikan dan boleh mendapat sokongan universiti.

Untuk menarik mereka ini berkhidmat di Malaysia untuk jangka masa panjang, ia memerlukan kita memberi tumpuan kepada soal gaji dan persekitaran universiti. Dari segi gaji, kita sekarang telah ada fleksibeliti.

Di UTM sendiri, kita sebenarnya sudah memulakan program pengantarabangsaan UTM iaitu kita mahukan program-program yang ditawarkan UTM diiktiraf di peringkat dunia. Kejayaan program itu memerlukan sumbangan profesor dari luar.

Pada masa yang sama kita mahukan the best brain dari luar negara datang sebagai profesor-profesor dan sesetengahnya datang ke universiti kita sebagai pelajar.

Kita tidak boleh mengatakan universiti Malaysia sudah bertaraf antarabangsa jika tiada orang luar hendak datang ke universiti kita, baik sebagai tenaga pengajar mahupun sebagai pelajar asing.

Bolehkah kita menjadi universiti antarabangsa jika jangankan hendak mendapatkan pensyarah atau pelajar dari England atau Australia, malah hendak mencari pensyarah dan pelajar dari negara-negara jiran di ASEAN pun mungkin mereka tidak mahu datang?

Sebab itulah saya berpendapat kita harus wujudkan suasana ilmu dan suasana antarabangsa di semua universiti di Malaysia. Persekitaran itu akan menarik sesiapa saja datang. Mereka akan bebas mempelajari ilmu dan membuat penyelidikan menggunakan makmal-makmal yang kita ada di universiti-universiti kita.

Kita juga kena wujudkan kerjasama dengan universiti-universiti terbaik di dunia. Kita boleh meminta profesor-profesor mereka datang ke universiti kita. Pada masa yang sama pensyarah-pensyarah kita juga perlu dihantar berkhidmat atau membuat penyelidikan di universiti mereka.

Kalau mereka tidak boleh datang ke universiti kita untuk tempoh yang lama sehingga satu atau dua tahun kerana mereka mempunyai komitmen di universiti masing-masing, memadailah kalau mereka boleh datang selama sebulan atau dua bulan.

Suasana antarabangsa inilah yang kita perlu wujudkan secepat mungkin di Malaysia.

Di samping itu universiti kita perlu mencari ahli-ahli akademik yang boleh menjadi pemimpin dan berfikir tajam untuk meneroka bidang-bidang ilmu baru.

Untuk bersaing di peringkat antarabangsa, tidak dapat tidak kita perlu menumpukan kepada kualiti. Kualiti amat penting, baik kualiti pelajar apalagi kualiti pensyarah. Tanpa universiti yang berkualiti, kita tidak akan dapat mengejar kecemerlangan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home