Tuesday, November 14, 2006

300,000 Kerja di Luar Negara

Harian Metro 14 November 2006


Oleh Mohamad Hussin

LEBIH 300,000 tenaga kerja tempatan termasuk golongan siswazah kini bekerja di luar negara, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Beliau berkata, kementerian itu menggalakkan pencari kerja termasuk graduan tempatan untuk mendapatkan pekerjaan bukan saja di dalam malah juga luar negara sebagai langkah mengatasi masalah pengangguran.

“Antara negara menjadi pilihan pekerja kita adalah Singapura, New Zealand, Korea Selatan, Australia, Jepun, Timur Tengah, Amerika Syarikat, Eropah dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Semakin ramai pekerja Malaysia bekerja di Dubai (UAE) kerana banyak peluang pekerjaan yang ditawarkan, bukan saja kepada pencari kerja dan graduan malah juga kepada majikan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Razali Che Mamat (BN-Kuala Krai) pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Abdul Rahman berkata, buat masa ini ada 50,000 penganggur berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lepasan kolej (25,000) manakala lepasan ijazah 20,000 orang.

“Bagaimanapun, jumlah ini menunjukkan penurunan berikutan banyak tawaran baru pekerjaan termasuk tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menawarkan 30,000 kekosongan jawatan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi menangani masalah graduan menganggur, kementerian sedang mengambil strategi jangka pendek dan jangka panjang, termasuk menyediakan Skim Latihan Graduan untuk meningkatkan peluang graduan memperoleh dan ditawarkan pekerjaan dalam pasaran.

“Kementerian ini sedang membuat analisis kekosongan jawatan dalam pasaran pekerjaan bagi mengenal pasti bidang pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya.