Thursday, March 05, 2009

Sains dan matematik dalam bahasa inggeris- satu perubahan paradigma

Oleh Alina Hasni, 27 November 2008

Sewaktu saya baru menghabiskan pengajian di sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan, saya terus mengikuti pembelajaran A-level di UiTM, Shah Alam untuk ke luar Negara. Setelah beberapa lama tidak belajar bersama kaum lain kerana 5tahun di sekolah berasrama penuh, saya berpeluang untuk berinteraksi kembali bersama kaum lain. Saya teringat kepada kisah kawan saya yang menceritakan tentang pengalaman mereka untuk cemerlang dalam SPM. Menjadi trend untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat biasiswa, mengumpul A1 adalah satu keperluan di Malaysia, termasuklah A1 di dalam subjek bahasa Melayu.

Meskipun sebilangan (yang saya kira majoriti ) para pelajar bukan melayu, tidak merasa perlu untuk menguasai dengan baik bahasa ibunda, namun oleh sebab lulus cemerlang bahasa Melayu adalah penting untuk mereka ke universiti. Justeru, terdapat beberapa taktik ‘hipokrit’ seperti menghafal karangan bahasa melayu, menghafal jawapan yang lazim keluar dalam peperiksaan dan sebagainya. Hasilnya, mereka berjaya juga mendapat A1 dalam bahasa melayu. Ini kerana kaum bukan melayu merasa penting mereka untuk lulus bahasa melayu untuk mendapat peluang pekerjaan dan pendidikan yang cerah di Malaysia.

Jika dilihat dari sudut konteks keperluan rakyat Malaysia menguasai bahasa melayu, saya kira sebilangan besar kaum bukan melayu sewaktu di persekolahan tidak faham atau menghayati betapa pentingnya menguasai bahasa kebangsaan demi kecintaan kepada tanah air dan juga perpaduan. Samalah juga, minoriti di Amerika dan juga di United Kingdom, yang menguasai bahasa inggeris untuk mendapat peluang pekerjaan dan mendapat taraf kerakyatan, bukan kerana mereka menghayati dan mencintai bahasa inggeris!

Maka ini saya samakan juga dengan visi Tun Dr Mahathir, yang ingin mengubah paradigma masyarakat melayu untuk maju di bidang sains dan matematik, dengan menukar bahasa perantaraannya kepada bahasa inggeris. Ini kerana syarat utama di Malaysia, untuk maju dibidang sains, matematik dan ekonomi bergantung besar kepada keupayaan berbahasa inggeris. Justeru, jika di’paksa’ murid-murid belajar dalam bahasa inggeris, ini sedikit sebanyak memaksa mereka untuk cuba mendalami dan memahaminya, seterusnya kita akan melahirkan para pelajar melayu yang setanding dengan para pelajar bukan melayu di Malaysia.

Tiada lagi comfort zone untuk yang terhad berbahasa inggeris sewaktu pelajaran bahasa inggeris sahaja!

Banyak bahan rujukan di internet dan buku-buku untuk sains dan matematik adalah dalam bahasa inggeris. Ini memudahkan lagi para pelajar untuk melayari internet dan meluaskan lagi pengetahuan mereka.

Sewaktu lawatan saya ke Mesir, subjek bahasa inggeris adalah satu kewajipan untuk lulus di tahun 1 jika ingin terus melangkah ke tahun 2 di bidang perubatan sesetengah universiti. Ini kerana walaupun kebanyakan buku yang diterbitkan pensyarah berbahasa arab, pihak universiti tidak mahu para mahasiswa mereka ketinggalan dari segi perkemabngan terkini bidang perubatan!

Kecintaan kepada bahasa bermula dari dasar

Setiap bahasa yang ingin dituturkan sebenarnya jika ingin didalami dan dicintai, perlu bermula dari dasar dan falsafah bahasa tersebut. Maka perlu ada setiap generasi yang sebilangan mereka yang pakar dalam memahami asal-usul dan musabab bagi sesebuah klosa kata.

Saya mula mahir berbahasa inggeris, apabila wujud kesedaran penting berbahasa inggeris untuk berinteraksi dengan minoriti Islam sewaktu di Ireland. Saya pernah berusrah dan berforum bersama mereka, dan saya nyatakan alangkah baiknya kita dapat berbahasa arab sesame umat Islam!

Penghantaran para pelajar sains ke UK dan America.

Kebanyakan para pelajar hari ini, menguasai bahasa tidak dari akarnya. Bahasa hanyalah dilihat sebagai medium perantaraan untuk bercakap seharian, dan bekerja berbanding pemahaman kepada asas-asasnya. Ini kerana majoriti para pelajar yang dihantar ke luar Negara, adalah untuk memahami sains dan matematik sahaja. Jadi apabila mereka pulang, mereka tiada kesedaran dan kepakaran dalam bahasa melayu, menjadikan mereka lemah dalam mentafsir ilmu yang mereka pelajari ke dalam bahasa melayu. Mereka seterusnya selesa menjadi pensyarah mennggunakan medium perantaraan bahasa inggeris. Seterusnya kita gagal menerapkan teknologi di dalam bahasa kita, seterusnya menjadikan bahasa kita kuat sebagai bahasa ekonomi dan teknologi seperti rakyat Jepun dan Jerman.

Pada saya, para pelajar sains dan matematik, yang menguasai ilmu-ilmu sekular sepatutnya belajar di dalam Negara. Kita seharusnya mengimport pensyarah-pensyarah dari luar Negara untuk mengajar anak watan. Seterusnya, mantapkan dan wajibkan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa perantaraan untuk menulis kajian dan menerbitkan tesis.

Cara ini lebih murah berbanding menghantar para pelajar kita diluar Negara. Yuran pengajian perubatan misalnya di UK, mencecah RM1.5juta seorang. Ini belum ditambah lagi kos sara hidup yang semakin meningkat di sana. Rata-rata pelajar ilmu sekular (sains dan teknologi) bukanlah mereka yang prihatin untuk mendalami tamadun, bahasa asing, budaya asing dan sebagainya. Oleh sebab itu, kita lihat pembaziran berlaku, apabila wang sara hidup digunakan untuk sekadar melancong dan berseronok-seronok di Eropah, tanpa mereka pulang mengambil pengajaran, seterusnya mengintegrasikan pengalaman mereka dengan masyarakat Malaysia.

Jika kita betul-betul ingin menguasai bahasa asing, saya kira kerajaan sepatutnya menghantar para pelajar sastera, falsafah, budaya, dan teologi ke luar Negara. Inilah orang-orang yang akan menjadi arkitek untuk masyarakat, dan mencorak masa depan Negara.

Sudah terlajak perahunya..

Nyatalah sudah 30tahun Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, kita tidak dapat melahirkan teknokrat melayu yang mampu menterjemahkan teknologi asing di dalam bahasa tempatan. oleh sebab kegagalan ini, kita tidak boleh lagi ‘hipokrit’ untuk mengatakan kita mampu mengubah bahasa teknologi kepada bahasa ibunda, kerana sudah saya kira terlambat.

Masa depan orang-orang melayu

Saya kira polisi ini dapat memberikan keuntungan kepada masyarakat melayu pada jangka masa panjang. Ini terbukti apabila peratusan murid-murid yang memilih untuk menjawab dalam bahasa inggeris berbanding bahasa melayu, telah meningkat tahun demi tahun. Polisi ini masih lagi memberi ruang kepada para pelajar melayu di luar Bandar untuk ‘terpaksa’ membaca soalan dalam bahasa inggeris, tetapi boleh menjawab di dalam bahasa melayu.

Orang melayu yang ‘hipokrit’?

Ramai pejuang bahasa yang saya ketemu, mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa inggeris. Ini kerana mereka tahu, untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa, mereka mahu tidak mahu mesti menguasai bahasa inggeris. Malah ramai antara mereka yang mampu berbahasa lebih dari 2 bahasa.

Begitu juga dengan parti yang memperjuangkan nasib orang melayu. Kebanyakan yang saya jumpa dari kelas bangsawan dan menengah atas, lebih cenderung berbahasa inggeris atau rojak. Maka samalah dengan kaum kerabat di raja yang dikatakan benteng terakhir orang-orang melayu, juga berbahasa inggeris!

Perjuangan bahasa bermula dari didikan masyarakat.

Saya kira penerapan bahasa melayu yang sejati, mestilah dididik oleh ibu bapa dan juga para alim ulama, ketua-ketua agama, NGO dan sebagainya. kita mahu orang-orang Malaysia berbahasa melayu bukan kerana terpaksa, tetapi mereka tahu menghargai dan menilai bahasa melayu.

Saya berbangga dengan perkembangan terkini melihatkan ramai ahli politik dari dari bangsa bukan melayu, fasih berbahasa melayu kerana sedar kepentingan pengundi-pengundi melayu.

Bahasa melayu tidak pupus apabila para pelajar belajar sains dan matematik di dalam bahasa inggeris, tetapi ia pupus apabila orang-orang melayu sudah melupakan akar bahasa dan adat mereka di nusantara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home