Thursday, March 05, 2009

Sains dan matematik dalam bahasa inggeris- satu perubahan paradigma - Ulasan Fahd Razy

Fahd Razy, 4 Disember 2008 dalam jawapannya kepada tulisan Alina Hasni "Sains dan matematik dalam bahasa inggeris- satu perubahan paradigma"


----Ulasan pertama----

Salam

Hmmmm…Saya setuju dan nampak ‘point’ yang dibawa tapi dalam masa yang sama bahagian akhir tulisan ni nampak seperti terlalu dipermudah dan idealistik.
Apa yang saya lihat dari isu PPSMI ni adalah kesan selanjutnya yang bakal timbul apabila Bahasa Melayu tidak diberi penekanan dan pendedahan yang sewajarnya. Akhir-akhir ini kita lihat seolah-olah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dipukul teruk, dan masyarakat mula rasa berani dan selesa dalam meminggirkan Bahasa Melayu seolah-olah mereka tahu para pemimpin dan pembuat dasar tidak melihat BM sebagai satu isu yang utama.

Lihat saja cadangan timbalan menteri pelajaran yang mahu menyediakan kertas soalan lukisan dalam bahasa Tamil, juga papan-papan tanda multi-bahasa di Pulau Pinang, dan sebagainya. Jika dilihat hal ini secara berasingan, nampak seperti remeh. Tapi jika dilihat secara kronologi dan menyeluruh, kita boleh nampak kesan jangka panjangnya. Bagaimana boleh ada rakyat Malaysia, lahir dan membesar di Malaysia, tengok TV malaysia (hmmm, tapi sekarang orang dah tak tengok kot, ada astro), dan sebagainya boleh berikan alasan tak faham Bahasa Melayu. Bahkan bukan sedikit kaum cina dan india yang tak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu (rasanya di hospital ini pengalaman biasa, kan?). Itupun dengan adanya sekolah-sekolah dengan bahasa pengatar BM

Saya tidak terkejut jika selepas ini pelbagai tuntutan yang serupa akan bertambah, berterusan, dan lebih mendesak. Natijahnya jarak antara kaum semakin ketara. Nanti akan wujudlah china-town, malay-town, india-town dan mereka tidak dapat berinteraksi antara satu sama lain kerana tembok bahasa yang semakin tebal.

Kebanyakan pejuang bahasa tidak pernah menafikan kepentingan Bahasa Inggeris, bahkan seperti yang ditulis dalam entri di atas, majoriti mereka sangat menguasai Bahasa Inggeris. Tapi yang mereka kesalkan kenapa perlu korbankan Bahasa Melayu sedangkan pelbagai alternatif boleh dilaksanakan, khususnya dalam metod pengajaran dan penerapan Bahasa Inggeris itu sendiri. Saya setuju mengatakan kita masih gagal menterjemahkan teknologi asing ke dalam bahasa tempatan tapi untuk terus beralih kepada bahasa asing adalah satu aksi yang saya rasa agak melulu. Kelemahannya di sini adalah dari segi pelaksanaannya…penterjemahan yang sangat perlahan, juga penggalakan pengajaran dalam bahasa tempatan yang kurang mendapat sambutan di IPT. Jadi aspek tersebut yang perlu dikaji dan diberi respons agresif oleh pihak pembuat dasar. Sekarang pun pihak penerbit universiti sedang giat menerbitkan buku2 teks oleh pensyarah tempatan dalam Bahasa Melayu. DBP telah membelanjakan berpuluh (bahkan ratusan) ribu ringgit mengumpulkan para akademik dalam setiap bidang untuk berbincang dan mewujudkan kamus istilah, terutamanya untuk bidang-bidang sains dan teknologi. Hal-hal ini lah yang perlu dipromosi dan diperkukuhkan untuk realisasikan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu.

Sudahnya sekarang, semuanya cacamarba. Semua buat sekerat jalan dengan hasil yang tak menentu.
(mana agaknya mereka nak campak kamus-kamus istilah yang dah siap tu…bungkus nasi lemak la agaknya)

----Ulasan kedua ----


Salam

Errr…saya tak faham macam mana ‘Bahasa Melayu memang sudah sedia rosak’ boleh menjadi alasan untuk kita terus merosakkannya? (uh, saya harapkan alasan yang lebih baik daripada sdr Acab). Tak ada siapa nafikan, sekarang, Bahasa Melayu diancam oleh bahan-bahan picisan tersebut. Tapi, secara ironinya, keadaan ini sepatutnya meletakkan pendaulatan Bahasa Melayu menjadi lebih utama, bukan? Kalau dah rosak, tentu prioriti untuk mengatasinya/merawatnya semakin tinggi, bukan pula sebaliknya. Bahkan kerana ketenatan itulah yang mendorong para budayawan dan ahli akademik semakin ligat membantah pelaksanaan PPSMI itu. Media cetak dan media siaran sebagai alat pembudayaan sudah dicemari, dan kini benteng-benteng akhir kita antaranya sudah tentulah termasuk pendidikan.

(((Melencong sikit. Saya teringat, satu kenyataan seorang penulis/pengarah filem indie, James Lee, apabila mewajarkan aksi lesbian dalam filem seram ‘Histeria’ nya dengan berkata- “secara realiti, ia sememangnya berlaku di kalangan masyarakat. Jika kita tidak tayang pun, ia tetap akan berlaku”. Saya tak tahu samada cerita seram tu termasuk tak dalam filem cliche’ yang disebut Acab tapi bunyinya agak merepek kan? Kalau ada berlaku dalam masyarakat sekalipun, tak bermakna dia perlu tayangkan dalam filem; seolah-olah dia tak belajar pula apa fungsi dan kesan filem dalam pembudayaan masyarakat. Semua pengarah Melayu filem cinta/seram/rempit pun beri jawapan sama.
Hmmm… Walaupun konteksnya berbeza, tapi impresi yang sama saya raih apabila membaca komen - ‘bahasa melayu dah memang sedia rosak’ itu, apa kata kita rosakkan lagi)))

Juga, apa yang membimbangkan majoriti yang membantah (dalam isu yang diperbincangkan ni) bukannya bagaimana PPSMI ‘TELAH’ merosakkan BM, tapi bagaimana dalam tempoh 10-15 tahun mendatang ia ‘AKAN’ merosakkan BM. Percayalah, hari ni kita boleh kata:
“uh, Bahasa Melayukan dah dirosakkan oleh bahan-bahan picisan.”
Tapi 10 tahun akan datang, apabila timbul isu yang hampir serupa (misalnya, jika ada dasar baru yang mencabar BM), saya yakin kamu akan kata pula
“Oh, Bahasa Melayu kan sudah sedia dirosakkan oleh PPSMI”.
Apa yang saya cuba jelaskan di sini, kebimbangan utama kita bukannya dengan keadaan semasa, tapi kesan yang akan datang (memang ada yang risau dengan kesan semasa, seperti ketidakadilan kepada pelajar luar bandar, tapi itu hal lain). Kita nilai secara proaktif, bukan reaktif. Saya sendiri tidak setuju, kalau dikatakan PPSMI TELAH menyebabkan BM kurang dipertuturkan pada hari ini, kerana walaupun pelajar belajar dalam BI, masih mereka gunakan BM di rumah, kan?
Tapi apabila kita meneliti secara waras, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah, pada usia begitu muda, tentu saja sedikit demi sedikit akan memaksa pengajian-pengajian lain di peringkat menengah dan tinggi terpaksa ditukar ke dalam Bahasa Inggeris. Majoriti jurusan (lebih kurang 80% dari jurusan yang ada) yang diajar di Universiti perlu ditukar ke dalam Bahasa Inggeris, kenapa? Kerana subjek tersebut bersangkutan dengan Sains dan Matematik (yang ‘basic’nya telah diberi pendedahan melalui BI di sek rendah). Dan ini juga turut memberi kesan kepada subjek yang tidak berkaitan dengan sains dan matematik, kerana mengikut arus perdana yang berlaku. Natijahnya, kita hanya akan berbalik ke zaman 60an dan 70an iaitu sistem pendidikan dengan bahasa pengantarnya bahasa Inggeris.

Perkara ini telahpun berlaku di Ireland. Majoriti Irish yang saya kenal, khususnya di bandar-bandar tidak boleh bercakap ‘gaelic’.
“Saya faham, tapi tak berapa pandai kalau nak berbual dalam bahasa gaelic,” itu jawapan majoriti rakan sekelas saya berbangsa Irish. “Kami belajar masa kecil-kecil dulu saja, lepas tu tak pernah guna pun. Sekarang dah lupa.” (errr, ada bunyi macam cik Syarifah xxxxx sewaktu ambil trofi pelakon wanita terbaik 2-3 tahun lepas pula.) Kemudian barulah kerajaan Irish terhegeh-hegeh mempromosikan semula bahasa, menterjemah semua papan tanda, dan sebagainya. Pelik, di negara Ireland, hanya dua ‘channel’ TV saja yang berbahasa Gaelic, itupun tak semua rancangan di dalamnya dalam Gaelic.

Hari ini, pelajar-pelajar yang belajar di Sek Ren masih bertutur dalam BM di rumah. Baiklah. Tapi generasi ini, yang bakal menerima, membesar, dan diasuh dalam Bahasa Inggeris, tentu akan membawa budaya bahasa ini dalam generasi seterusnya, dan seterusnya, dan seterusnya. Dan kesudahannya BM hanya tinggal bahasa yang digunakan oleh orang-orang tua di kampung yang terceruk (seperti yang terjadi kepada Irish dan bahasa Gaelic).

“Sorry, I used to learn Malay in preschool, but now I don’t know how to speak Malay. Well, it was long time ago, you know…,” kata Ali bin Mamat, 20 tahun akan datang.

Tulis Acab:
“mengapa baru bangkit isu mendaulatkan bahasa melayu? mengapa mesti PPSMI di kambinghitamkan?”

Oh, isu mendaulatkan Bahasa Melayu telah lama diperjuangkan. Para ahli akademik, budayawan, sejarawan, penulis, dan sebagainya telah lama memekik dan melaung tentang hal ini. Sudah lama badan-badan kerajaan, termasuk yang ’sepatutnya’ mengayakan Bahasa dan Pustaka, juga yang ’sepatutnya’ mengayakan ‘Terjemahan’ dikritik kerana kegagalan (atau kurang keberkesananannya). Dah lama media-media picisan diganyang dan dan diprotes. Cumanya, baru kini hal ini menjadi tumpuan akhbar, menjadikan seolah-olah baru kini hal Bahasa ini timbul. Sebab itu sekarang, mereka yang sebelum ini tak pernah (atau kurang) ambil tahu, tak pernah pun bercerita tentang bahasa, tiba-tiba lantang bersuara entah dari mana (sama ada menyokong atau membangkang). Masing-masing keluarkan pandangan, hujah, kritikan, tempelak dan sebagainya seolah-olah inilah perjuangan hidup-mati mereka selama ini.
Jelasnya, isu PPSMI ini lebih ketara di kalangan masyarakat, tentunya kerana banyak sorotan dari akhbar dan sebagainya lantara faktor-faktor politik, sentimen, dan sebagainya. Bukannya, kerana baru hari ini isu pendaulatan bahasa Melayu dilaungkan.

Sekali lagi, saya katakan, semua yang tidak bersetuju dengan PPSMI bukannya tidak bersetuju dengan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris sangat, sangat, sangat penting dalam dunia global dan kompetitif hari ini. Tanyalah orang-orang utama yang menentang PPSMI, kebanyakan mereka bahkan fasih berbahasa Inggeris! Jadi, Mr Kama, saya tak dapat nak beri respons sangat kepada tulisannya kerana tiada siapa menafikan hal itu pun. Tak menjawab apa-apa sangat pun sebenarnya.

Yang menjadi tentangan adalah pelaksanaan PPSMI itu sendiri, apatah lagi di peringkat sekolah rendah sedangkan banyak alternatif lain diperingkat P&P yang boleh diperbaik, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris. Jadi, kalau yang mengulas kepentingan PPSMI dari sudut kepentingan Bahasa Inggeris, hmmm, tak tahulah saya nak respons kerana saya pun BERSETUJU yang kita kena mahir bahasa Inggeris (oh, OSCE ku selalu kantoi, haha). =)

Ini bukan isu Bahasa Inggeris vs Bahasa Melayu, tapi antara PPSMI dan PPSMM (err, ada ke PPSMM? =D )

1) Acab, saya tak faham kenapa Bahasa Melayu dipersalah kerana drama/filem/akhbar/fatwa melayu yang cliche’ dan tak menjana minda? Kerana ia ditulis dalam bahasa Melayu ke? Macam orang kata Islam tu pengganas, kerana ada orang Islam yang buat keganasan. Macam tu ke?

2) Jika masyarakat tak tahu nilai bahasa, apa tindakan yang wajar? Apa tindakan untuk menanam nilai ini? Maksud saya, PPSMI akan berhasil kah?
(Jangan beri jawapan macam pengarah filem melayu, ya…)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home