Thursday, March 05, 2009

Memberi Ikan atau Joran?

Utusan Malaysia, 26 Februari 2006

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) akan memperkenalkan bantuan ihsan kepada mereka yang jatuh di bawah garis kemiskinan akibat diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi dunia.

Kementerian itu juga menjangkakan hampir 60,000 orang diberhentikan kerja pada tahun ini. Bukan berhasrat menambah derita mereka yang terkena tempias ekonomi dunia sekarang ini tetapi persoalannya ialah perlukah kerajaan berterusan memberikan bantuan kewangan seperti itu setiap kali ada masalah.

Kita sering mengakui memberi joran adalah jauh lebih baik daripada memberi ikan tetapi mengapa kita masih mahu memberi ikan.

Inilah masanya bagi kerajaan memberikan joran kepada golongan itu supaya bukan sahaja mereka tetapi anggota keluarga mereka juga akan dapat makan setiap hari. Memberi bantuan ihsan bukan tidak membantu tetapi dalam jangka masa panjang, ia hanya akan mewujudkan masyarakat yang terus mengharapkan dan meminta-minta bantuan.

Akibatnya, kerajaan perlu menyediakan sejumlah peruntukan untuk tujuan seperti itu. Selain itu, pemberian wang secara terus kepada rakyat mengundang pelbagai masalah lain terutama penyelewengan, salah guna kuasa dan juga rasuah.

Setakat ini, belum ada satu mekanisme yang benar-benar berkesan bukan sahaja dalam menentukan golongan yang layak menerima bantuan itu tetapi juga kaedah pengagihan wang yang benar-benar telus.

Sebagai contoh, hasrat murni kerajaan memberikan rebat petrol kepada rakyat sejak setahun lalu telah dicemari dengan beberapa kes penyelewengan.

Rasanya, masih ada banyak cara dan bentuk bantuan yang lebih sesuai untuk kerajaan membantu golongan yang diberhentikan kerja itu.

Mungkin inilah masanya kerajaan mengorak langkah melahirkan lebih ramai usahawan termasuk dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan.

Pelbagai bentuk bantuan untuk usahawan telah diwujudkan oleh kerajaan dan seharusnya bantuan-bantuan seperti ini diberikan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan itu. KSM boleh bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi di bawahnya dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tujuan itu.

Selain itu, KSM sendiri mempunyai bursa buruh elektronik (ELX) yang jika dimanfaatkan dengan berkesan boleh membantu golongan itu mendapat pekerjaan di tempat lain.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan bursa itu dan KSM seharusnya menguar-uarkannya supaya mereka yang kehilangan pekerjaan dapat memanfaatkan kemudahan tersebut.

Perlu juga diakui walaupun dunia sedang mengalami kegawatan tetapi peluang pekerjaan baru masih wujud dan kementerian itu perlu bijak memadankan pekerjaan yang wujud itu dengan kelayakan penganggur.

Dapat dilihat, KSM sudah mula mengambil beberapa langkah untuk berdepan dengan masalah pemberhentian pekerja di negara ini seperti menubuhkan bilik operasi pemantauan pemberhentian pekerja dan membekukan pengambil pekerja asing.

Apa yang perlu kini ialah KSM memantapkan lagi usaha itu supaya dapat membantu mereka yang kehilangan pekerjaan mendapat pekerjaan lain tanpa perlu memberikan mereka wang ihsan.

Ini kerana masalah kegawatan ekonomi adalah sementara dan kerajaan perlu mengambil langkah menang-menang bagi menempuh keadaan sementara itu.

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home