Monday, July 16, 2007

Dilema industri akhbar di Jepun


Utusan Malaysia, Julai 2007

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD (Yang mengikuti program felo NSK-CAJ di Jepun baru-baru ini)

INDUSTRI akhbar di Jepun telah mula bertapak di negara itu kira-kira 139 tahun yang lalu dan antara akhbar yang terawal diterbitkan ialah Asahi Shimbun iaitu pada tahun 1879 di Osaka.

Dengan kekuatan 20 kakitangan pada masa itu edaran permulaan akhbar berkenaan adalah sekitar 3,000 naskhah sehari.

Kini setelah lebih satu abad berlalu, akhbar tersebut kini merupakan akhbar kedua terbesar edarannya di negara berkenaan selepas Yomiuri Shimbun dengan purata edarannya mencecah 11 juta sehari.

Berdasarkan rekod Persatuan Penerbit dan Editor Jepun, selain Asahi Shimbun terdapat empat lagi akhbar nasional yang diterbitkan setiap hari dengan jumlah edaran setiap satunya lebih 2.5 juta naskhah sehari.

Empat akhbar tersebut ialah Yomiuri Shimbun dengan edaran sebanyak 13 juta naskhah sehari, Mainchi Shimbun (5.5 juta naskhah sehari), The Nikkei (4.6 juta naskhah sehari) dan Sankei Shimbun (2.8 juta naskhah sehari).

Jika diamati kepada jumlah edaran yang berjaya dicatatkan oleh kelima-lima akhbar berkenaan jelas memperlihatkan betapa besarnya pasaran industri akhbar di negara yang mempunyai penduduk seramai 127 juta itu.

Ia belum dikira dengan edaran tujuh akhbar harian utama yang bersifat akhbar bagi kawasan tertentu.

Antaranya seperti Chunichi Simbun (3.4 juta naskhah sehari), Hokkaido Shimbun (1.8 juta naskhah sehari), Nishi-Nippon Shimbun (1.03 juta naskhah sehari) dan Shizuoka Shimbun (1.4 juta naskhah sehari).

Jumlah yang dicatatkan itu adalah hasil penjualan akhbar edisi pagi dan petang.

Menurut Timbalan Pengerusi, Lembaga Editor The Asahi Shimbun, Kenichi Miyata, trend sambutan masyarakat Jepun terhadap akhbar setakat ini masih belum berubah.

Bagaimanapun katanya, kecenderungan generasi muda beralih kepada media berbentuk baru seperti lama web dan telefon bimbit semakin ketara.

Perkhidmatan tambahan

Justeru beliau berkata, syarikatnya terpaksa menyediakan perkhidmatan tambahan seperti akhbar dalam talian bagi menarik minat lebih ramai generasi muda terus mendekati produk keluaran syarikatnya.

‘‘Kami sedar dengan perubahan yang berlaku ini. Ia berikutan kemajuan sistem teknologi komunikasi maklumat di seluruh dunia,’’ ujarnya.

Namun begitu, beliau mengakui bibit-bibit perubahan tersebut sedikit sebanyak telah membimbangkan pihak pengurusan syarikat kerana kebanyakan pembaca setia akhbar Asahi Shimbun adalah di kalangan mereka yang berusia antara 30 tahun hingga 70 tahun.

‘‘Walaupun jumlah edaran akhbar ini masih dapat dipertahankan, pihak pengurusan syarikat amat khuatir dengan perubahan ini kerana terdapat kemungkinan akan berlaku kekurangan pembaca pada masa hadapan.

‘‘Ini merupakan satu perkara serius kerana industri akhbar amat bergantung kepada jumlah pembaca dan kebanyakan pembaca kami adalah mereka yang telah berusia,’’ kata Miyata.

Beliau berkata, mahu tidak mahu pihaknya terpaksa mendekati generasi muda mulai sekarang bagi mengelakkan jumlah akhbar syarikatnya jatuh merudum.

Ujarnya, setiap kali mesyuarat, pihak pengurusan sentiasa membangkitkan persoalan adakah jumlah edaran sebanyak 11 juta sehari itu mampu dipertahankan.

‘‘Bagi kami persoalan yang dibangkitkan oleh pihak pengurusan syarikat merupakan sesuatu yang amat relevan dengan masa depan serta survival akhbar kami.

‘‘Kami tidak mahu nasib Asahi Shimbun serupa dengan akhbar di beberapa negara lain yang mana akhbar dalam talian telah mula mengambil alih peranan media cetak dan akhirnya ia telah menjejaskan industri ini.

‘‘Bagi kami akhbar ini (Asahi Shimbun) perlu dipertahankan sampai bila-bila kerana ia merupakan lambang maruah syarikat kami ,’’ katanya lagi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif, Sankei Digital. Inc, Abe Masami iaitu antara syarikat pengendali akhbar dalam talian terbesar di Jepun mengakui generasi muda di negara itu semakin menggemari melayari Internet untuk mendapatkan berita terkini.

Beliau berkata, dengan kesibukan bekerja ia telah membuatkan generasi muda khususnya memilih untuk mendapatkan bahan berita di Internet.

‘‘Kami telah menyediakan khidmat akhbar dalam talian dengan jenama The Iza sejak tahun 2000 dan sehingga kini jumlah pelanggan yang melayari akhbar kami mencecah kira-kira 10 juta orang sebulan.

‘‘Kami jangka untuk tempoh beberapa tahun akan datang jumlah pelanggan kami akan terus meningkat iaitu berdasarkan jumlah pengguna Internet yang semakin bertambah dari setahun ke setahun,’’ katanya.

Bagi menarik pembaca beliau berkata, berita yang dimuatkan sentiasa perlu dikemas kini dalam tempoh 24 jam.

‘‘Setiap berita yang dilaporkan adalah seperti yang terdapat di media cetak. Malah kami juga turut mencetus berita hingga ia diikuti oleh akhbar-akhbar lain.

‘‘Begitu juga dengan berita-berita berbentuk eksklusif. Kami meminta wartawan sentiasa mendapatkan berita eksklusif kerana ia merupakan lambang kekuatan kepada sesebuah syarikat akhbar,’’ tambahnya.

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home